Penyokong cedera dan patah tangan, kecewa pihak keselamatan di Bung Karno tidak main peranan

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Insiden keganasan penyokong Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno sejurus kekalahan 2-3 kepada Malaysia dalam aksi sulung pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, mengakibatkan beberapa penyokong Malaysia terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan.

Menurut laporan Berita Harian Online, seorang penyokong dikenali sebagai Izhar Atan patah tangan dipercayai akibat terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri dari serangan penyokong tuan rumah dan ketika ini sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Jakarta.

Manakala seorang lagi penyokong cedera di kepala dan belakang akibat terkena objek yang dibaling penyokong Indonesia dan menerima rawatan pesakit luar.

Akhbar Harian Metro Online pula melaporkan kira-kira 400 penyokong negara yang diserang dengan balingan botol, bom asap serta ditumbuk dalam insiden malang berkenaan hanya dibenarkan keluar stadium sekitar jam 12.45 malam selepas keadaan di sekitar Bung Karno disahkan selamat.

Malah buat kali ketiga dalam sejarah, barisan pemain dan pegawai pasukan terpaksa keluar dari stadium dengan menaiki baraccuda akibat kebimbangan terhadap keselamatan mereka.

Sementara itu, salah seorang penyokong, Iskandar Kamal berkata, dia dan penyokong yang lain berdepan detik mencemaskan sehingga memaksa mereka berlari masuk ke bawah stadium untuk menyelamatkan diri.

Katanya, dia amat kecewa kawalan keselamatan pihak berkuasa Indonesia yang sepatutnya lebih peka dan bersedia dengan tindakan penyokong mereka.

“Patutnya keselamatan kena lagi cekap untuk menangani masalah ini. Kepala saya sedikit cedera sebab terkena botol air yang masih penuh dan penutup botol itu betul-betul kena dekat kepala saya,” katanya ketika ditemui dalam terowong Stadium Gelora Bung Karno.

Manakala bagi penyokong wanita, Aida Fasha Mutalib, dia merasakan kehadiran ribuan pihak polis dan tentera Indonesia langsung tidak membantu penyokong Harimau Malaya ketika insiden itu.

“Masa itu memang terkejut (balingan botol dan bom asap) tapi memang dah jangka mereka akan macam ini sebab selalu berlaku di sini. Rasanya askar mereka tak main peranan, seolah buat tak tahu dan tak jaga kami,” katanya yang berasal dari Johor.

Pada perlawanan yang berlangsung tegang itu, Harimau Malaya bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan 3-2, terima kasih kepada dua jaringan Mohamadou Sumareh dan satu jaringan Syafiq Ahmad.

 

Foto ehsan : Berita Harian, Harian Metro, penyokong Malaysia di GBK

 

Comments