Maafkan Firdaus Imran, kritikan tidak membantu penjaga gol itu untuk bangkit

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Penjaga gol skuad Malaysia B-18, Firdaus Imran Fadhil meminta maaf di atas kesilapan dilakukannya ketika menentang Thailand dalam aksi terakhir peringkat kumpulan yang hampir meragut tiket beraksi di separuh akhir Kejuaraan AFF B-18 Next Media yang sedang berlangsung di Vietnam.

Pada aksi di Stadium Thanh Long, Malaysia yang memburu kemenangan keempat berturut-turut untuk mengesahkan kedudukan sebagai juara Kumpulan B dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Thailand yang sudahpun tersingkir awal, gara-gara kesilapan oleh Firdaus Imran.

Firdaus Imran cuba menggelecek Sitthinan Rungrueang tetapi gagal, lantas menyaksikan Rungrueang menolak masuk bola ke dalam gawang ternganga pada minit ke-69, sekaligus menjadi gol tunggal perlawanan dan juga satu-satunya kemenangan Thailand dalam kempen kali ini.

Malaysia kendalian Brad Maloney bagaimanapun bernasib baik untuk meneruskan kemaraan kerana Vietnam yang berpotensi cerah untuk memintas mengalami kekalahan mengejut 1-2 di tangan Kemboja dalam satu lagi perlawanan.

“Maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana kesilapan yang saya buat, jika kita gagal ke separuh akhir, ia mungkin menjadi igauan buruk dalam karier saya. Sebagai ketua pasukan, saya ambil tanggungjawab ini, saya minta maaf pada semua, saya janji tak buat lagi. Benda macam ni saya letak dalam diri saya. Semua orang buat silap. Cepat atau lambat saja bangkit daripada kesilapan, saya akan kembali lebih kuat selepas ini,” kata Firdaus Imran.

Dalam pada itu, pengurus skuad B-18 Malaysia, Dato’ Kamarul Ariffin Mohd Shahar pula berharap penyokong tidak berterusan melemparkan kritikan di atas kesilapan yang tidak disengajakan oleh Firdaus Imran itu kerana ia sama sekali tidak akan membantu pemain itu untuk bangkit.

“Apa yang Firdaus perlukan adalah sokongan, dia mempunyai masa depan sangat cerah tetapi jangan kita membunuh semangat dia hanya kerana satu kesilapan tersebut yang mana saya pasti dia sendiri tidak terfikir akan berlaku dalam perlawanan penting seperti itu.

“Menangis dia bila saya peluk dia tadi, berkali-kali minta maaf, saya kata lupakan sahaja, bangkit dan kembali sebagai seorang yang lebih kuat. Dia masih muda, setiap kesilapan adalah proses pembelajaran,” ujar Kamarul Ariffin.

Dalam aksi separuh akhir nanti, Malaysia akan menentang Indonesia yang menjuarai Kumpulan A.

Foto : FAM

 

Comments