Malaysia intai final ketiga berturut-turut di sebalik berada dalam ‘kumpulan maut’

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Skuad futsal kebangsaan mempunyai potensi untuk melangkah ke final Kejuaraan Futsal AFF 2019 yang akan berlangsung di Vietnam dari 21-27 Oktober depan, di sebalik laluan berliku dan juga persiapan yang tampak sedikit goyah.

Demikian keyakinan disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Rosmadi Ismail.

Malaysia telah diundi di dalam Kumpulan B bersama tuan rumah Vietnam, Indonesia dan Australia yang dianggap sebagai ‘kumpulan maut’ manakala penyertaan di CFA International Futsal Tournament di China pada 5-8 Oktober lalu menyaksikan skuad Chiew Chun Yong tewas 0-3 kepada Maghribi dan kemudiannya dibelasah 1-8 oleh Denmark, sebelum mencatat keputusan seri 4-4 menentang China.

Namun Rosmadi yang juga merupakan Naib Presiden FAM berpendapat, Chun Yong akan dapat menyediakan sebuah skuad kompeten yang dapat mengulangi pencapaian mara ke final 2017 dan 2018.

“Di atas kertas kalau dapat lepas ke separuh akhir dikira cukup bagus, tetapi mentaliti kita haruslah mahu menyamai atau memperbaiki pencapaian lalu. Jadi, pemain-pemain perlu mencabar diri sendiri, jangan awal-awal lagi mengalah kerana kalau untuk menjadi yang terbaik kita kena tewaskan yang terbaik, anggap ianya sebagai satu cabaran, bukan tekanan,” kata Rosmadi kepada Foxsports.

Chun Yong pula menganggap Jelajah China sebanyak dua kali telah memberikannya peluang untuk menilai banyak perkara.

“Kali pertama ke China pada bulan lepas kita pulang sebagai juara, kali kedua pula, memang mengecewakan dari segi keputusan tetapi secara keseluruhan Jelajah China membantu saya untuk menilai banyak perkara terutama pemahaman pemain mengenai taktikal dan sistem permainan yang saya terapkan.

“Ia adalah satu eksperimen yang memberikan banyak input kepada saya, mengenai disiplin pertahanan dan serangan, menajamkan sentuhan penyudah, yang mana kita masih ada masa untuk memperbaikinya sebelum ke Vietnam,” kata Chun Yong.

Sebagai rekod, Kejuaraan Futsal AFF 2019 adalah edisi ke-15 penganjuran, dan sejak dianjurkan pertama kali pada 2001, Malaysia telah muncul naib juara sebanyak lima kali manakala Thailand unggul dengan 14 kejuaraan.

Tahun lalu Thailand muncul juara dengan menewaskan Malaysia 4-2 dalam aksi final.

Foto : NSTP Online

Comments