Kashima Antlers sahkan perpindahan Hiroki Abe ke Barcelona

Kashima Antlers telah mengesahkan perpindahan Hiroki Abe ke Barcelona telah dipersetujui kedua belah pihak.

Abe yang cemerlang sejak membuat debutnya dalam bolasepak Jepun pada 2017, merupakan seorang pemain yang terlibat dalam membantu Kashima Antlers memenangi Liga Juara AFC musim lepas.

Walaupun hanya berumur 20 tahun, beliau telah dipertanggungjawabkan untuk mewakili Jepun di Copa America baru-baru ini dan ia tidak mengambil masa yang lama sebelum beliau mendapat perhatian kelab-kelab di Eropah.

Barcelona ibarat mendapat loteri apabila berjaya mendapatkan khidmat pemain Kashima Antlers ini setelah beliau melepasi ujian kesihatan dan permintaannya terhadap kelab itu telah dipersetujui.

“Sejak tamat sekolah menengah saya telah berkhidmat di Kashima Antlers dan berjaya membentuk diri sebagai seorang manusia dan seorang pemain.” menurut kenyataan Abe di laman web rasmi Liga Jepun.

“Ia merupakan keputusan yang sukar tetapi saya yakin perpindahan ke Barcelona merupakan pilihan yang tepat kerana cabaran yang akan saya hadapi akan membantu saya sebagai seorang pemain”.

Abe telah dianugerahkan pemain muda terbaik di Liga Jepun musim lepas dan merupakan pemain Jepun kedua yang berpindah ke kelab Eropah mengikut jejak langkah Takefusa Kubo ke Real Madrid.

Dipercayai bahawa Abe akan bermain untuk Barcelona B dan beliau akan dipindahkan ke skuad utama jika beliau mempamerkan prestasi yang baik.

Comments