Misi Ekor Harimau Malaya untuk Asia esok!

Khairul Nizam Khairul Nizam

Masih teringatkah anda betapa meriahnya Stadium Nasional Bukit Jalil ketika Piala AFF Suzuki 2018 dulu?

Masih terbayangkah anda betapa bergemanya Stadium Shah Alam ketika skuad bawah 23 tahun negara berjaya mara sehingga ke perlawanan akhir Sukan SEA 2017 dulu?

Dua kejohanan itu adalah untuk merebut takhta di Asia Tenggara, tetapi telah mendapat sokongan yang begitu menggila daripada rakyat Malaysia. Ada yang berembun di stadium demi mendapatkan sekeping tiket. Ada yang berpanas sehingga pengsan bagi mendapatkan peluang menyokong skuad negara di depan mata.

Ini misi berbeza. Misi yang lebih tinggi. Misi untuk kegemilangan di Asia.

Esok skuad bawah 23 tahun negara berdepan misi penting untuk menumbangkan salah satu daripada pasukan hebat Asia, China dalam perlawanan kelayakan Piala AFC Bawah 23 tahun. Dua kemenangan sudah digapai selepas menewaskan Filipina dan Laos yang memberikan tentangan sengit.

Tugas sebenar anak buah Datuk Ong Kim Swee adalah esok. Malaysia perlu menang atau sekurang-kurangnya seri untuk merebut tempat ke Bangkok, Thailand pada tahun hadapan. Kita pernah melakukannya apabila layak ke kejohanan itu tahun lalu di China, dan kita mahu ianya dilakukan sekali lagi.

Agak sedih melihat Stadium Shah Alam yang tidak diisi sepenuhnya dalam dua perlawanan sebelum ini. Bayangkan jika ini adalah perlawanan akhir, sudah tentu sekarang kita sudah melihat rakyat Malaysia beratur panjang bagi mendapatkan tiket.

Tunggu apa lagi wahai ‘Ekor-Ekor’ sekalian? Sampai bila kita mahu berada di kelompok Asia Tenggara? Tidakkah kita mahu melihat sendiri anak muda kita menumbangkan Naga China? Kita tidak dapat melihat mereka menewaskan Arab Saudi dan Korea Selatan di depan mata pada tahun lalu. Inilah masanya untuk kita berikan sokongan padu!

Tiada kasta dalam sokongan. Tiada gelaran Ultras, bangsa final atau ultras kuaci kali ini. Kita semua adalah penyokong dan pemain-pemain perlukan kita esok. Sang Harimau perlukan ekornya untuk meratah sang naga esok. Buatlah apa yang perlu untuk menzahirkan sokongan anda esok. Jadilah wakil kepada rakan-rakan kita yang berada jauh dari Stadium Shah Alam. Kita tidak tahu berapa ramai sebenarnya yang teringin mahu melihat skuad negara beraksi di depan mata tetapi tidak mampu berbuat demikian kerana kekangan jarak dan wang.

Marilah wahai penyokong Malaysia. Mereka memerlukan kita. Kita buktikan kepada mereka, ngauman Harimau Malaya akan gegarkan Benua Asia!

 

 

Kredit foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Comments