Wakil Park Hang-seo keluarkan kenyataan mengenai status kontrak beliau bersama Vietnam

Tanda tanya sama ada Park Hang-seo akan menyambung kontrak menjadi tajuk-tajuk utama media massa Vietnam semenjak bulan lalu, dan kini wakil ketua jurulatih itu tampil membuat kenyataan.

Kontrak pengendali dari Korea Selatan itu dengan Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) akan tamat pada Januari 2020 dan Vietnam bakal menghadapi 2 kejohanan penting ketika itu iaitu kelayakan Piala Dunia 2022  dan Piala Asia 2023.

Sehubungan dengan itu, kedua-dua pihak cuba untuk mencapai kata sepakat untuk menyambung kontrak sebelum tarikh kejohanan penting tersebut. Namun, wakil Park Hang-seo iaitu DJ Management Co.Ltd (DJM) berkata spekulasi dari pihak media telah mengakibatkan proses itu tertangguh.

“DJM telah menghantar kenyataan rasmi berkali-kali kepada media supaya tidak menyiarkan mengenai perkara sensitif dalam kandungan kontrak Park Hang-seo. Namun, baru-baru ini DJM telah mendapati terdapat beberapa pihak yang menyiarkan kandungan-kandungan kontrak seperti tempoh kontrak, syarat-syarat dan jangkaan terhadap Park Hang-seo,” ujar pihak DJM.

“Perkara-perkara seperti ini telah memberikan tekanan kepada pihak pengurusan. Tambahan pula khabar-khabar angin seperti ini akan menggangu perjalanan untuk memutakhirkan kontrak antara kedua-dua pihak sekaligus menggangu fokus untuk Park untuk bersama pasukan kebangsaan.” ujar CEO DJM Lee Dong Jun dalam kenyataan itu.

“Atas hal demikian, DJM telah meminta ‘cooling period’ antara kedua-dua pihak sehingga pertemuan seterusnya diadakan. Sebelum pertemuan tersebut mestilah tiada kenyataan mengenai perkara ini.”

“Park Hang-seo tetap akan meneruskan tugasnya seperti biasa. DJM sentiasa akan menyokong professionalism dan semangat beliau membimbing pasukan.”tambahnya.

Comments