Velizar Popov Bimbing Skuad Bawah 23 Tahun Myanmar

Stunning free kick not enough as Singapore lose Airmarine Cup to Oman

Naim Jaya Naim Jaya

Bekas pengendali pasukan Kelantan yang berasal dari Bulgaria, Velizar Popov pada hari ini sah dilantik sebagai jurulatih skuad kebangsaan Bawah 23 tahun Myanmar.

Pengumuman tentang perlantikan tersebut dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Myanmar di laman sesawang rasmi mereka dan turut dikongsi jurulatih berusia 42 tahun itu di laman sosial miliknya.

Ketika dihubungi oleh Fox Sports Asia, jurulatih yang memegang lesen kejurulatihan Pro UEFA itu menganggap pemilihan beliau sebagai ketua jurulatih kepada negara yang mempunyai populasi 50 juta orang itu sebagai suatu penghormatan kepada dirinya.

“Saya sedar tugas melatih pasukan kebangsaan adalah sesuatu yang berbeza jika dibandingkan dengan tugas membimbing mana-mana kelab sebelum ini.

“Menyaksikan sendiri enam perlawanan yang dilalui skuad muda ini pada bulan lepas, saya percaya bola sepak Myanmar mempunyai masa depan yang cerah dan saya akan melakukan yang terbaik untuk membantu dan meningkatkan kualiti permainan mereka.

“Kami juga tidak akan melakukan perkara yang hebat dalam masa yang singkat, tetapi sekiranya kami mampu untuk mencapai persefahaman dan melakukan usaha yang berterusan, sudah pasti kami akan mencapai kejayaan suatu masa nanti.

Beliau juga turut menyifatkan Kejuaraan AFF Bawah 22 Tahun yang bakal berlangsung pada Februari ini juga bakal menjadi medan terbaik untuk beliau melakukan persiapan bagi mengahadapi pusingan kelayakan Kejuaraan AFC Bawah 23 Tahun pada Mac nanti.

“Kami akan berhadapan dengan pasukan-pasukan yang kuat dan ini sudah pastinya ianya akan menjadi cabaran yang besar buat pemain dan juga barisan kejurulatihan.

“Kami akan cuba untuk menggunakan taktikal yang berbeza-beza untuk setiap kejuaraan tetapi jika anda mengenali saya, kami akan cuba memenangi setiap perlawanan tanpa mengira mana-mana pertandingan.

“Ianya adalah sangat penting untuk sebuah negara seperti Myanmar untuk melayakkan diri ke kejohanan besar dan berhadapan dengan pasukan yang lebih kuat kerana ianya memberi isyarat yang lebih jelas tentang apa yang anda lakukan di sana samada anda melakukan perkara yang betul atau tidak bersama mereka” ujar pengendali yang berasal dari Bulgaria itu.

Popov yang pernah membimbing beberapa kelab di Asia Tenggara sebelum ini dilantik menjadi pengendali kepada skuad muda Myanmar sebagai persediaan bagi menghadapi kempen Kejuaraan AFF Bawah 22 Tahun, kelayakan Kejuaraan AFC Bawah 23 Tahun dan juga Sukan Sea 2019 yang dijadualkan berlangsung di Filipina hujung tahun ini.

Selain mengendalikan beberapa kelab di Asia Tenggara seperti Kelantan, Sisaket FC (Thailand) dan Suphanburi (Thailand), Popov juga pernah dilantik menjadi pengurus pasukan kebangsaan Maldives pada tahun 2015.

Walaubagaimapun, pencapaian terbaik Popov yang terkenal dengan sikapnya yang tegas di dalam dan juga luar padang adalah ketika beliau berjaya membawa skuad Kelantan The Red Warriors menduduki tangga ke empat Liga Super pada musim 2016.

Foto Kredit: MFF

Comments