Kelab diwakili Matyo, BG Pathum United bina Pusat Latihan Moden Baharu

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Kelab diwakili Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali sebagai Matyo, BG Pathum United mengadakan majlis pecah tanah bagi pembinaan pusat latihan moden yang akan dikenali sebagai BG Training Center.

Majlis perasmian pecah tanah itu diadakan semalam dan dirasmikan sendiri oleh pengerusi kelab, Pavin Bhirombhakdi dan turut dihadiri oleh pihak pengurusan, barisan kejurulatihan dan para pemain.

Foto: BG Pathum United FC

Pusat latihan itu akan menempatkan tiga padang latihan sintetik khusus untuk skuad utama yang bersaing dalam kancah Thai League 1 serta fasiliti-fasiliti moden yang lain seperti gimnasium, bilik ujian kecergasan, bilik analisis data, bilik sidang media, bilik-bilik mesyuarat, pejabat serta stor-stor.

Selain itu, mereka juga merancang untuk membina pusat perubatan moden bagi pembinaan fasa kedua kelak untuk membantu para pemain BG Pathum United mendapatkan rawatan sekiranya ditimpa sebarang kecederaan sekaligus mempercepatkan proses pemulihan.

BG Training Center ini dijangka siap pada penghujung tahun ini dan akan digunakan oleh skuad The Rabbit bagi mengharungi saingan liga musim 2021 kelak.

Foto: BG Pathum United FC

Comments