Rembatan Safawi pastikan Malaysia atasi pasukan tangga ke-116 dunia

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Satu rembatan daripada pemain gantian, Safawi Rasid pada minit ke-72 memastikan Malaysia berjaya mengatasi ujian daripada pasukan yang menduduki tangga ke-116 dunia, Tajikistan.

Menentang Tajikistan, ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe melakukan sedikit ‘eksperimen’ terhadap kesebelasan utamanya. Akhyar Rashid, Syamer Kutty Abba, Syahmi Safari, Baddrol Bakhtiar dan Khairulazhan diberikan peluang untuk bermula dalam kesebelasan utama.

Permainan pada separuh masa pertama bermula dengan agak seimbang. Kedua-dua pasukan cuba mendapatkan tempo dan cuba mengatur serangan ke arah gawang lawan masing-masing.

Babak pertama menyaksikan sekitar empat percubaan dapat dilakukan oleh pasukan Malaysia. Ianya hadir menerusi percubaan oleh Syahmi Safari, Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid. Bagaimanapun, kesemuanya hanya percubaan yang lemah.

Skuad Tajikistan juga beberapa kali berjaya menerpa kawasan kotak penalti Malaysia. Percubaan mereka paling berbahaya mereka hadir pada minit ke-29 menerusi satu sepakan padu yang menggegar palang Malaysia oleh Dzhalilov Alisher.

Separuh masa pertama tamat dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Memasuki separuh masa kedua, pasukan pelawat, Tajikistan terpaksa bermain dengan 10 orang pemain apabila penjaga gol mereka dilayangkan kad merah kerana menyentuh bola dengan tangan di luar kotak penalti.

Pada masa yang sama, ketua jurulatih turut melakukan sedikit perubahan pada babak kedua dengan memasukkan Brendan Gan, Safawi Rasid dan Adam Nor Azlin. Kehadiran Brendan Gan sememangnya mengubah tempo perlawanan skuad Harimau Malaya disamping mempunyai kelebihan menentang 10 orang pemain.

Minit ke-72 menyaksikan Stadium Nasional Bukit bersorak keriangan apabila pemain gantian, Safawi Rasid berjaya melakukan larian ke dalam kotak penalti lawan, melakukan ‘cut inside’ dan melepaskan rembatan untuk meletakkan Malaysia mendahului 1-0.

Walaupun bermain dengan 10 orang, Tajikistan cuba untuk menyaingi Malaysia dan berusaha untuk mendapatkan sekurang-kurangnya gol penyamaan namun usaha mereka sering digagalkan oleh kekentalan barisan pertahanan Harimau Malaya bertahan.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali meniup wisel menandakan tamat perlawanan.

Foto: Football Association of Malaysia

Comments