Hamidin lawat tapak ibu pejabat, pusat latihan dan stadium baharu FAM

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin dilaporkan melawat tapak yang akan menempatkan ibu pejabat, pusat latihan dan stadium baharu FAM di Putrajaya, petang tadi.

Kerajaan persekutuan menerusi Perbadanan Putrajaya telah mewartakan Prescint 5 sebagai padang untuk sukan bola sepak selain daripada berhasrat untuk menjadikan ia sebagai Football City atau Bandar Bola Sepak. Justeru, ibu pejabat, pusat latihan dan stadium baharu FAM itu akan dibina di kawasan tersebut yang dianggarkan seluas 13 ekar.

Menariknya, selain daripada menyediakan satu pusat latihan yang moden dan kondusif buat pemain-pemain skuad kebangsaan pelbagai peringkat umur, Perbadanan Putrajaya turut mahukan pusat latihan yang bakal dibina itu dibuka kepada kegunaan komuniti setempat.

Foto: FAM

“Tujuan utama FAM untuk membina pusat latihan berkenaan adalah menyediakan kemudahan latihan bertaraf dunia menepati tuntutan moden bertujuan memberi suasana prestasi tinggi demi kegunaan pasukan elit tanpa mengetepikan komuniti Putrajaya.

Sejajar hasrat Perbadanan Putrajaya yang mahukan pusat latihan itu dibuka kepada kegunaan masyarakat setempat, FAM bercadang menggunakan kaedah guna sama selain menimbang kemungkinan membina taman rekreasi untuk kegunaan penduduk setempat di Putrajaya.

“Langkah ini, menurut Datuk Haji Hamidin, sejajar dengan kedudukan Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Negara dan juga menepati hasrat Kerajaan menjadikan Presint 5 sebagai pusat sukan menerusi kewujudan Football City atau Bandar Bola Sepak yang menempatkan ibu pejabat baharu FAM sambil diapit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) serta sebuah stadium bola sepak moden.” tulis kenyataan rasmi FAM menerusi media sosialnya.

Lawatan Datuk Hamidin turut disertai oleh kedua-dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi bersama barisan exco FAM dan Setiausaha Agung, Stuart Ramalingam.

Mereka diberi taklimat dan penerangan terperinci mengenai pembangunan Football City oleh Naib Presiden Perancangan Bandar Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud. Delegasi FAM amat berpuas hati dengan susun atur dan pelan cadangan yang dikemukakan oleh Perbadanan Putrajaya.

Foto: FAM

Comments