Belum masanya untuk ‘serang’ Antonio German

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Pengendali Selangor, B.Sathianathan diketahui sebagai seorang yang cukup tegas dan lantang bersuara, terutama apabila ia membabitkan prestasi pemainnya jika mereka bermain di bawah tahap sebenar.

Namun dalam kes pemain import baru pasukan itu, Antonio German yang dilihat masih bergelut untuk tampil dengan prestasi yang diinginkan, B.Sathianathan meminta penyokong tidak terburu buru ‘menyerang’ pemain itu.

Bagi B.Sathianathan, pemain sayap kelahiran Grenada itu perlu diberikan peluang secukupnya.

“Tidak adil untuk menilai prestasinya sebagai tidak bagus hanya selepas dua perlawanan, dia masih baru dalam Liga Malaysia lagipun ketika perlawanan pertama menentang Felda United dia bermain bagus dan turut menjaringkan gol.

“Ketika lawan PJ City dia berdepan kesukaran untuk bermain di padang becak dan ‘hilang’ hingga ada yang cakap dia macam pemain tempatan, tapi kita masih berada di awal musim jadi ia terlalu awal untuk kita menghukum dia. Saya sebagai jurulatih akan tegur dia, saya sangat yakin dia sebenarnya boleh bermain jauh lebih baik.

“Kita kena sabar dalam membantu dia terjemahkan prestasi yang diharapkan tetapi janganlah sampai ke empat, lima perlawanan pun tetap main macam tu, memang yang itu tidak boleh diterima dan saya kena beri amaran dan ambil tindakan,” ujar B.Sathianathan.

Pada perlawanan menentang PJ City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang berkesudahan seri 1-1 Sabtu lalu, Antonio German dikeluarkan pada minit ke 63 dan digantikan oleh Nurridzuan Abu Hassan.

Kemasukan Nurridzuan dilihat lebih membawa impak dengan Selangor dilihat rancak menyerang terutama pada 10 minit terakhir sehingga berjaya mendapatkan gol penyamaan. Malah beberapa lagi gerakan berjaya dicipta namun dihampakan dengan ketiadaan hantaran akhir yang berkualiti.

Sementara itu mengenai kegagalan pasukannya untuk melakar kemenangan selepas dua perlawanan, B.Sathianathan berkeyakinan tinggi ia akan ternoktah dalam aksi seterusnya.

“Kita tidak cukup tenang dan gopoh ketika mempunyai peluang untuk jaringkan gol, semua pemain nak jadi hero, semua nak jaringkan gol dan merugikan peluang, ia situasi yang berlaku dalam dua perlawanan lalu selain ketumpulan sentuhan penyudah. Kita juga kurang mengancam dalam situasi set-piece yang mana saya harap akan dapat diperbaiki sebelum aksi PKNS,” ujarnya.

Skuad Red Giants ketika ini menghuni tangga keenam dengan dua mata.

 

Foto : FASelangor.my/Asiana

Comments