Setelah sekian lama, penjualan tiket mengikut nombor tempat duduk akan diperkenalkan FAM-PSM

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah menandatangani satu perjanjian bersama sehingga 31 Disember 2020 untuk menjadikan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai gelanggang skuad bola sepak kebangsaan bagi semua kejohanan rasmi, semalam.

Satu perkara yang menarik hasil daripada perjanjian di antara kedua-dua organisasi tersebut adalah penjualan tiket secara dalam talian sepenuhnya serta pengenalan penjualan tiket mengikut nombor tempat duduk. Satu perkara yang telah lama dinantikan oleh sekalian peminat bola sepak tanah air.

Memetik siaran media yang dikeluarkan di laman sesawang FAM, mereka berkata, “FAM dan PSM sedang bekerjasama untuk merealisasikan sistem penjualan tiket seratus peratus secara ‘online’ bagi perlawanan-perlawanan membabitkan skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional. 

“Perbincangan mengenai perkara tersebut memerlukan masa yang lebih bagi memastikan semua aspek penjualan dan operasi perlawanan dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah. 

“FAM dan PSM turut akan cuba memperkenalkan penjualan tiket mengikut nombor tempat duduk yang mana ia juga masih dalam peringkat perbincangan berhubung cara operasinya. 

“Kedua-dua inisiatif ini akan cuba dilancarkan menjelang perlawanan bertemu UAE pada 10 September ini.”

Penjualan tiket mengikut nombor tempat duduk telah diminta oleh para penyokong bola sepak Malaysia sejak sekian lama. Sistem ini membolehkan para penyokong memilih tempat duduk dengan sudut pandang yang mereka sukai serta tidak perlu datang terlalu awal semata-mata untuk mendapatkan mana-mana kerusi.

Selalunya, jika sistem penjualan sebegini diperkenalkan, para penyokong mestilah bersedia dengan penetapan harga yang berbeza-beza mengikut setiap seksyen atau tier di Stadium Nasional. Namun, tiada sebarang makluman mengenai penepatan harga tiket selepas pengenalan kedua-dua sistem yang dinyatakan di atas.

Untuk meningkatkan lagi pengalaman para penyokong yang hadir menyaksikan skuad kebangsaan di Stadium Nasional, mereka turut mengumumkan proses pemeriksaan keselamatan di pintu masuk akan menggunakan pengimbas pengesan logam (metal detector scanner) dan alat pengimbas tangan (hand held scanner).

Sebagai tambahan, laluan ekspres bagi penyokong yang tidak membawa beg turut diperkenalkan bagi memastikan aliran masuk penyokong ke stadium berjalan dengan lebih lancar.

Foto: FAM

Comments