Prestasi semasa 5 pemain timnas Indonesia yang pernah berkelana di Liga Malaysia

Ketua jurulatih skuad senior Indonesia, Simon McMenemy telah mengumumkan senarai 24 pemain yang akan dipanggil untuk menjalani latihan pusat mulai 21 Ogos ini. Latihan pusat tersebut akan dijalankan di Stadium Pakansari, Bogor sebagai persiapan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum menentang Malaysia dan Thailand, awal september kelak.

Daripada 24 pemain yang dipanggil oleh pengendali kelahiran Scotland itu, lima daripadanya adalah pemain-pemain yang pernah berkelana dalam kancah Liga Malaysia sekitar musim 2015 hingga 2018. Antaranya ialah Evan Dimas, Andik Vermansah, Ferdinand Sinaga, Alberto Goncalves dan Osas Saha.

Kesemua mereka bermain dalam saingan Liga 1 Indonesia pada musim ini. Ayuh kita lihat bagaimana prestasi semasa mereka bersama pasukan masing-masing sebelum menentang skuad Harimau Malaya pada 5 september kelak:

Evan Dimas

Foto: MFL

Kelab Terkini: Barito Putera (Kedudukan ke-14 Liga 1)

Umur: 24 Tahun

Posisi: Pemain Tengah

Pengalaman di Liga Malaysia: Selangor (2018)

Bekas pemain tengah Selangor ini menyarung jersi PS Barito Putera pada musim ini. Bersama pasukan tersebut, beliau telah membuat 13 penampilan dalam saingan Liga 1 Indonesia dan berjaya mencetak 1 gol. Tiada ‘assist’ yang direkodkan oleh pemain muda ini namun berdasarkan statistik rasmi liga mereka, Evan Dimas telah merekodkan 16 percubaan dan separuh daripadanya tepat ke sasaran. Tetapi mencetak gol bukanlah tugas utama seorang pemain tengah. Beliau dipilih oleh Simon kerana mengungguli carta pemain dengan jumlah hantaran terbanyak Liga 1 Indonesia. Jumlahnya adalah 560 hantaran dalam 13 perlawanan. 

 

Andik Vermansah

Foto: Kedah FA

Kelab Terkini: Madura United (kedudukan ke-3 Liga 1)

Umur: 27 Tahun

Posisi: Pemain Tengah

Pengalaman di Liga Malaysia: Selangor (2013-2018), Kedah (2018)

Andik Vermansah antara pemain yang berkelana lama dalam saingan Liga Malaysia. Mula menyertai Selangor sejak 2013 pada musim 2018 beliau berhijrah ke pasukan Kedah. Musim ini, beliau bermain bersama pasukan Madura United. Pemain licik dan pantas ini telah merekodkan 8 penampilan dan menghasikan dua gol dalam saingan Liga 1 Indonesia 2019. 

 

Ferdinand Sinaga

Foto: TRW FC/Kelantan FA

Kelab Terkini: PSM Makassar (Kedudukan ke-9 Liga 1)

Umur: 31 Tahun

Posisi: Penyerang

Pengalaman di Liga Malaysia: Kelantan (2018)

Ferdinand Sinaga dibawa masuk menyertai Kelantan ketika di bawah kendalian Presiden Bibi Ramjani pada awal musim 2018. Namun, jodohnya bersama Kelantan tidak begitu panjang dan penyerang kebangsaan Indonesia ini kembali ke pasukan lamanya, PSM Makassar. Dalam saingan liga negaranya musim ini, Ferdinand Sinaga telah menjaringkan 2 gol. Tiada sebarang ‘assist’ dicatatkan oleh pemain berpengalaman ini.

 

Alberto Goncalves

Foto: Madura United FC

Kelab Terkini: Madura United (kedudukan ke-3 Liga 1)

Umur: 38 Tahun

Posisi: Penyerang

Pengalaman di Liga Malaysia: Pulau Pinang (2015-2016)

Antara penyerang yang agak tajam dalam saingan Liga 1 Indonesia musim ini. Sebanyak 7 gol berjaya dijaringkan oleh bekas pemain Pulau Pinang ini di samping memberikan dua ‘assists’ kepada rakan sepasukan. Pemain kelahiran Brazil ini dijadikan pemain naturalisasi Indonesia dan beliau membuat debut bersama skuad Garuda pada tahun lalu ketika menentang Myanmar dalam satu perlawanan persahabatan. Walaupun telah mencecah usia 38 tahun, ia tidak menghalang Simon untuk memanggil beliau ke timnas Indonesia bagi mengharungi dua kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Malaysia dan Thailand, bulan hadapan. 

 

Osas Saha

Foto: FA Penang

Kelab Terkini: TIRA-Persikabo (Tempat pertama, Liga 1)

Umur: 32 Tahun

Posisi: Penyerang

Pengalaman di Liga Malaysia: Pulau Pinang (2016-2017)

Osas Saha merupakan seorang lagi pemain naturalisasi Indonesia. Pernah menyarung jersi Pulau Pinang sebagaimana Alberto Goncalves. Beliau turut menjadi taruhan Simon McMenemy di bahagian serangan skuad Garuda untuk menentang Harimau Malaya dan Gajah Perang. Musim ini, pemain kelahiran Nigeria ini merupakan penyerang utama pasukan TIRA Persikabo dan telah menjaringkan sejumlah 5 gol dan mencatatkan 3 ‘assist’ daripada 12 penampilan.

 

Foto: Kedah FA

Comments