Sathianathan : KJ dan Hamidin perlu diberi kredit, bukan orang lain

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) B.Sathianathan menegaskan kejayaan skuad muda dalam Kejuaraan AFF bawah 15 tahun (B-15) dan prestasi semasa skuad B-18 adalah hasil kerja keras Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan jalinan kerjasama erat bersama kerajaan pusat.

Pengendali Selangor itu menyifatkan tidak patut mana-mana pihak mendakwa kejayaan pasukan muda kebangsaan hadir menerusi ‘air tangan’ seorang individu sebaliknya Sathianathan menegaskan permulaan baru bola sepak negara adalah hasil daripada penglibatan semua pihak.

Walaupun tidak menyebut nama sesiapa, kenyataan Sathianathan dilihat ditujukan kepada Pengarah Akademi Mokhtar Dahari, Lim Teong Kim memandangkan rata-rata penyokong bolasepak tempatan menyifatkan ilmu yang diturunkan Teong Kim sudah mula menampakkan hasil susulan prestasi mengagumkan skuad kendalian P.Maniam dan Brad Maloney itu.

Bagaimanapun, Sathianathan menegaskan jika ada nama yang wajar diberikan kredit, ianya adalah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Tiada siapa boleh ‘claim’ (mendakwa) kejayaan hari ini (skuad B-15 dan skuad B-18) adalah inspirasi atau ilham daripada seorang individu, jika anda masih bertanyakan kepada saya siapakah individu bertanggungjawab dalam kebangkitan prestasi ini, secara peribadi saya boleh sebutkan dua nama iaitu Khairy dan Hamidin, bukannya orang lain.

“Ini kerana kita harus ingat Khairy yang membentangkan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) kepada parlimen di mana ini adalah kali pertama bola sepak berada dalam agenda negara.

“Jadi idea Khairy ini membuktikan pemain-pemain muda kita sebenarnya memiliki potensi besar manakala peranan Hamidin pula mengembangkan idea Khairy menjadi lebih baik mengikut kesesuaian bola sepak tempatan, sesuai dengan kepimpinan dan ketokohan beliau dalam bola sepak tempatan.

“Jika betul ada orang yang mahu ‘claim’, sepatutnya datang daripada dua individu ini bukannya orang lain atau jika setakat datang untuk menguruskan projek yang sudah ada atau telah dirancang, semua orang boleh lakukan,” ujarnya.

Sebagai rekod, kedua-dua pasukan muda negara mencuri tumpuan media Asia apabila masing-masing menewaskan Australia 3-0 dalam aksi AFF B-15 dan AFF B-18.

Dalam perkembangan sama, Sathianathan menegaskan pelaksanaan program pembangunan akar umbi ini adalah usaha yang sentiasa perlu diberikan sokongan dan mengingatkan semua pihak supaya bekerja lebih keras demi memastikan kebangkitan pasukan muda negara berada dalam landasan yang betul.

“Seingat saya, tiada lagi mana-mana pihak menuduh program berkaitan pembangunan akar umbi adalah satu projek yang gagal termasuk NFDP.

“Mungkin ada segelintir pihak silap tafsir maksud kegagalan sebagai jurulatih dan pengarah teknikal atau sebagainya.

“Seperti saya katakan tadi, jika sesiapa yang dilantik pun akan menikmati kejayaan positif kerana kita sebenarnya memiliki ramai pemain-pemain muda berbakat besar.

“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada pasukan muda negara tetapi perjalanan kita masih jauh dan saya percaya kita harus berusaha lebih keras untuk mengekalkan prestasi positif ini,” ujarnya.

Comments