Tiga lagi pemain Felda United FC ‘dilamar’

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Selepas Danial Amier, sekurang-kurangnya tiga lagi pemain Felda United FC menarik minat pasukan-pasukan lain untuk mendapatkan khidmat mereka pada musim hadapan.

Menurut laporan daripada Stadium Astro, tiga pemain tersebut adalah kapten pasukan, Hadin Azman, pemain tengah, Zahril Azri dan pertahanan yang mampu melakukan lontaran jauh ke dalam, Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim ketika menentang Selangor FA saingan Shopee Piala FA 2019. Foto: Felda United FC

Umur yang masih muda serta pengalaman bermain di kancah Liga Super pastinya menjadi faktor utama yang membuatkan pasukan-pasukan lain cuba untuk menyambar ketiga-tiga pemain ini daripada skuad The Fighters.

Malah mereka merupakan ‘rencah’ utama Felda United FC musim ini sehingga berjaya mara ke peringkat separuh akhir Piala FA 2019 dan kekal dalam saingan Liga Super 2020.

Bagi pengendali Felda United FC, Nidzam Jamil, reaksinya bercampur baur apabila memberikan mengulas berkenaan empat pemainnya yang sedang dipancing oleh pasukan-pasukan lain.

Beliau tidak menghalang jika pemain-pemain tersebut mahu berhijrah namun pengendali berusia 39 ini lebih suka melihat tonggak muda utamanya itu kekal di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada musim hadapan.

“Dalam era bola sepak profesional, kami tidak boleh mengelak pemain daripada disunting dan itu bermakna, saya dan barisan kejurulatihan telah membuat kerja yang positif sehingga mereka dipantau pasukan lain. 

“Apapun, saya lebih gembira untuk melihat mereka dikekalkan,” ujar Nidzam Jamil kepada Stadium Astro.

Foto: MFL

Comments