5 Perkara yang anda perlu tahu mengenai Cerezo Osaka

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Bulan hadapan, penyerang muda negara, Luqman Hakim bakal terbang ke negara matahari terbit untuk menjalani sesi trial bersama pasukan yang bersaing dalam kancah J.League iaitu Cerezo Osaka. Menurut laporan beberapa media tempatan, sesi percubaan Luqman Hakim itu merupakan hasil inisiatif oleh Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd. serta wakil Cerezo Osaka sendiri.

Berikut kami tampilkan lima perkara menarik mengenai pasukan Cerezo Osaka kepada anda:

#1 Pencapaian Terbaik Cerezo Osaka

Seusia dengan kemerdekaan tanah air kita. Pasukan ini mula ditubuhkan pada tahun 1957 dengan nama Yanmar Diesel Soccer Club oleh pencinta bola sepak di Kota Osaka. Pada tahun 1993, pasukan ini diperbadankan dan mereka menukar nama kelab ini kepada Cerezo Osaka. Setahun kemudian, mereka mendapat promosi untuk bersaing dalam kancah J. League selepas memenangi Kejohanan JFL. Sejak daripada itu, pasukan yang diberi nama julukan ‘Cherry Blossoms’ ini telah turun dan naik antara divisyen pertama (J1 League) dan divisyen kedua (J2 League). Pencapaian terbaik mereka dalam saingan bola sepak Jepun adalah pada musim 2017 di mana mereka berjaya menduduki tangga ke-3 saingan J1 League serta merangkul dua trofi iaitu  Emperor’s Cup (saingan liga kalah mati) dan J.League Cup (pertandingan seumpama Piala Malaysia)

 

#2 Gelanggang rasmi mereka pernah menjadi venue kejohanan Piala Dunia

Gelanggang rasmi bagi Cerezo Osaka ialah Yanmar Stadium Nagai yang terletak di Kota Osaka. Stadium pelbagai guna ini dirasmikan pada tahun 1964 dengan acara bola sepak Sukan Olimpik pada tahun tersebut. Kapasiti awal adalah 23,000 tempat duduk. Pada tahun 1996, stadium ini menjalani renovasi dan kapasiti tempat duduknya ditambah kepada 50,000 untuk Festival Sukan Kebangsaan Jepun edisi 1997. Kapasiti terkini adalah 47,000 dan menjadi gelanggang rasmi Cerezo Osakan sejak tahun 1996. Menggunakan rumput semula jadi, stadium ini turut menjadi salah satu gelanggang bagi kejohanan Piala Dunia FIFA 2002. Antara perlawanan yang berlangsung di sini adalah Nigeria vs England, Tunisia vs Jepun dan Senegal vs Turki.

 

#3 Rekod di AFC Champions League

Kali terakhir pasukan Cerezo Osaka bermain di kancah elit bola sepak asia, AFC Champions League (ACL) adalah pada musim 2018. Mereka mendapat slot automatik selaku juara Emperor’s Cup. Pada saingan ACL musim tersebut, mereka diundi dalam Kumpulan G bersama-sama Guangzhou Evergrande, Jeju United dan Buriram United. Sayangnya itu bukan musim terbaik mereka dan skuad Cherry Blossoms ini telah dikejutkan oleh wakil ASEAN, Buriram United 2-0 di Stadium Buriram. Mereka bertemu sekali lagi pada peringkat kumpulan di Yanmar Stadium Nagai dan pasukan Cerezo Osaka hanya berjaya mengikat Buriram United 2-2. Mereka menamatkan kempen AFC 2018 di kedudukan ke-3 dalam Kumpulan G. Musim terbaik mereka di pentas ACL adalah pada musim 2011 dimana mereka berjaya mara sehingga saingan suku akhir sebelum tewas kepada wakil K-League, Jeonbuk Motors 9-5 secara agregat.

 

#4 Mempunyai pasukan simpanan, Cerezo Osaka B-23

Sepertimana pasukan Johor Darul Ta’zim dan Terengganu FC yang mempunyai pasukan feeder club / reserved team / development team dalam saingan bola sepak tempatan, pasukan Cerezo Osaka juga tidak terkecuali mempunyai sebuah pasukan yang sama. Ia merupakan pentas untuk melahirkan pemain bintang seterusnya. Cerezo Osaka B-23 dan bersaing di divisyen 3 atau lebih dikenali sebagai J3 League dalam piramid bola sepak Jepun. Liga ini terdiri daripada 18 pasukan dan musim ini, setakat 20 perlawanan yang telah dimainkan, pasukan simpanan yang dikenali sebagai ‘Sakura Next’ ini berada di kedudukan ke-5 dengan mengumpul 33 mata. Selain daripada pasukan Cerezo Osaka, pasukan Gamba Osaka dan FC Tokyo turut mempunyai pasukan simpanan yang bermain dalam saingan liga yang sama. Kami jangkakan Luqman Hakim mungkin akan bermain bersama pasukan ini sekiranya beliau berjaya menarik minat Cerezo Osaka pada sesi percubaan, bulan hadapan.

 

#5 Dua pemain ASEAN kini bersama skuad ‘Sakura Next’

Pasukan simpanan atau pasukan pembangunan Cerezo Osaka ini turut memiliki dua pemain ASEAN kelahiran Thailand. Salah seorangnya merupakan penyerang dan berumur 19 tahun iaitu Tawan Khotrsupho. Seorang lagi adalah pemain tengah, Pongrawit Jantawong yang berumur 18 tahun. Kedua-dua mereka datang daripada pasukan BG Pathum United FC yang bersaing dalam Thai League 2, musim ini. Menurut makluman daripada laman sesawang BG Pathum United FC dan laman sosial Cerezo Osaka, Tawan dan Pongrawit dipinjamkan oleh BG Pathum United FC kepada Cerezo Osaka selama satu tahun.

Foto: Cerezo Osaka

Comments