Malaysia akan tampil lebih matang di kelayakan AFC B-16

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Penjaring terbanyak Malaysia di Kejohanan AFF B-15 yang melabuhkan tirai minggu lalu, Nabil Qayyum Zainuddin berkata pengalaman diraih sepanjang beraksi di Bangkok akan dimanfaat sebaik mungkin di pentas lebih besar iaitu pusingan kelayakan AFC B-16 bulan depan.

Nabil Qayyum yang meledak jaringan kemenangan ketika Malaysia bangkit menewaskan Thailand dalam aksi final AFF B-15 memberitahu setiap apa yang dipelajari di kejohanan Asia Tenggara itu hanya akan menjadikan mereka sebagai sebuah pasukan yang lebih matang.

“Kami belajar untuk mengatasi pemain yang mempunyai fizikal atau susuk tubuh lebih besar, dalam masa sama kami juga belajar bagaimana untuk berdepan dengan penyokong yang gemar melakukan provokasi dan perang psikologi untuk menganggu fokus kami,” katanya yang menjaringkan lima gol dan berkongsi kedudukan penjaring kedua terbanyak AFF B-15 bersama Marselino Ferdinan (Indonesia).

Dalam pada itu, Nabil Qayyum mengakui dia dan rakan sepasukan perlu menggandakan latihan dan kerja keras jika berazam mengetepikan cabaran Jepun, Laos dan Kemboja dalam Kumpulan J pusingan kelayakan AFC B-16.

“Bagi saya kejayaan di AFF B-15 satu permulaan yang bagus.
Bagaimanapun, perjalanan kami masih lagi jauh dan harap segala kelemahan dari segi persembahan saya sendiri mampu diperbaiki lagi selepas ini. Sudah tentu latihan lebih berintensiti tinggi sangat diperlukan kerana dari situ kami boleh memantapkan bahagian serangan dan pertahanan. Kami juga berpeluang untuk memperbaiki kelemahan, seterusnya melayakkan diri ke kejuaraan AFC B-16.

“Pengalaman di Chonburi akan digunakan sebaik mungkin kerana ketika itu kami lebih banyak mengharapkan strategi kerana pemain lawan menggunakan kelebihan fizikal mereka,” ujar Nabil Qayyum yang pernah dinobatkan Pemain Paling Bernilai CFA Team China International Youth Football Tournament Haikou 2019 pada bulan lalu.

Kredit : NSTP

Comments