Kontrak LTK, pemain suarakan nada berbeza

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Di kala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) melihat Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Lim Teong Kim sebagai seorang yang gagal dan tidak bercadang memperbaharui kontraknya, pemain-pemain pula menganggap kehilangan Teong Kim sebagai satu kerugian besar dan berharap dapat terus ‘berguru’ di bawah bekas jurulatih akademi Bayern Munich itu.

Beberapa hari lalu, MSN selaku salah satu agensi pengendali AMD yang menempatkan pemain terbaik dari Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) menerusi Pengarah Bahagian Atlet, Jefri Ngadirin memaklumkan kontrak Teong Kim tidak akan disambung dan mereka sudahpun memiliki calon pengganti dengan individu terbabit memiliki kaliber dan potensi untuk meneruskan NFDP selepas ini.

Begitupun, salah seorang pemain akademi yang berpangkalan di Gambang itu, Raja Muhammad Haikarl Raja Zahari berkata, “Saya harap dia dapat kekal di sini kerana banyak idea disumbangkan olehnya. Ramai yang mengatakan Teong Kim adalah jurulatih garang namun apa yang diajar olehnya adalah perkara betul dalam bola sepak.

“Malah, dia membawa budaya Eropah kepada kami khususnya menerusi disiplin ketika berada di atas padang. Itulah yang kami praktikkan dan kami memang banyak belajar daripadanya.

“Beliau seorang yang berkaliber dan perlu terus diberi kepercayaan terajui AMD, beliau orang yang tepat untuk tingkatkan pembangunan akar umbi.”

Manakala seorang lagi Danial Haiqal Mohd Shaipol pula memberitahu, “Beliau seperti memiliki magis. Bagi saya, taktikal diterapkan Teong Kim sangat bagus dan kami cepat memahami apa yang diajar olehnya walaupun nampak agak sukar pada mulanya.

“Kalau boleh, sudah tentu saya mahu kontraknya disambung. Malah, dia banyak membantu saya dengan teknik untuk menjadi penyerang yang baik.”

Raja Haikarl dan Danial Haiqal merupakan dua daripada lima pemain AMD berusia bawah 15 tahun yang mewakili negara di Projek Impian Asean di Osaka.

Sebagai rekod, Teong Kim dilantik sebagai Pengarah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) pada 2013 dan kemudiannya meneruskan tugas sebagai Pengarah AMD apabila kontraknya disambung pada 2016 dengan sasaran utama adalah membawa skuad B-16 layak ke Piala Dunia Remaja B-17 di Brazil pada tahun ini.

Kegagalan tersebut menyaksikan dia dihentam teruk sebagai gagal dalam mencapai Indeks Petunjuk Prestasi, dan FAM juga pantas mengumumkan pemecatannya sebagai Ketua Jurulatih skuad B-16.

Susulan daripada itu juga, Kementerian Belia dan Sukan membuat penstrukturan semula pada NFDP, menyaksikan Teong Kim hilang kuasa apabila tugasnya sebagai Pengarah Teknikal diambil alih oleh Saad Ichalalene yang sebelum itu merupakan Ketua Metodologi, Pendidikan Jurulatih dan Pencarian Bakat NFDP.

Sebaliknya Teong Kim yang masih memiliki kontrak sehingga 31 Oktober 2019 dengan gaji berjumlah RM175,000 dilantik sebagai Pengarah AMD dan perlu melaporkan segala tugasnya kepada Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Peter De Roo.

Comments