Kenali Saad Ichalelene dan empat tonggak skuad B-12 Malaysia

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Seperti diketahui, skuad bawah 12 tahun negara telah mengambil bahagian di Piala Soong Ching Ling di China pada awal bulan ini dan pulang dengan pencapaian menduduki tangga ketiga.

Sebagai rekod, Piala Soong Ching Ling adalah saingan lapan sebelah bawah 13 tahun anjuran Yayasan Soong Ching Ling, Persatuan Bolasepak China (CFA) dan Pusat Asean-China.

Tahniah diucapkan kepada ketua jurulatih, Saad Ichalelene serta barisan pemainnya atas pencapaian membanggakan ini. Semoga pasukan ini terus melangkah menempa kejayaan yang lebih besar.

Berikut sedikit latar belakang Saad Ichalelene dan empat pemain tonggak utama skuad B-12.

Saad Ichalelene

Merupakan warga Perancis berketurunan Algeria, yang menjadi watak penting menanam DNA dan corak permainan moden dalam kalangan pelatih Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Apabila Lim Teong Kim dipindahkan menjaga kelompok elit yang kecil di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) pada 2016, Saad Ichalelene dilantik sebagai Ketua Metodologi Kejurulatihan dan Peninjau Bakat, ditemani Franck Plaine dan Abdifitaah Mohd Hassan, bagi menerapkan kaedah kejurulatihan dan corak permainan dari Perancis ke semua peringkat Akademi Tunas (AT), Pusat Latihan Daerah (PLD) dan Sekolah Sukan Negeri (SSN).

Beliau dilantik sebagai pengarah teknikal NFDP dalam penyusunan semula menerusi kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bersama Kementerian Pelajaran serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Saad Ichalelene pernah menjadi ketua jurulatih skuad B-14 dan penolong jurulatih skuad B-19 PSG, dengan Alphonso Areola, Adrien Rabiot, Presnel Kimpembe dan Matteo Guendounzi antara yang pernah mendapat bimbingannya.

Piala Soong Ching Ling dianjurkan di Hangzhou minggu lalu menjadi ujian pertama Saad Ichalelene selaku ketua jurulatih di peringkat kebangsaan.

Muhammad Aisy Al Hakim Hasnizam

Beraksi sebagai pemain tengah menyerang, Aisy Al Hakim (Akademi Tunas Wangsa Maju) antara pemain yang diberi kepercayaan membekalkan peluang kepada jentera serangan diketuai oleh Nur Azim Assyakirin Azman yang akhirnya muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan lapan gol.

Bapa Aisy, Hasnizam Uzir bukanlah nama asing dalam industri bola sepak tempatan.

Sebelum mencipta nama sebagai pengulas televisyen dan radio, Hasnizam yang juga anak kelahiran Johor Bahru adalah pemain remaja kebangsaan, dengan penampilan di Kejohanan Remaja Toulon, Perancis, pada 1995 antara kemuncak kerjayanya.

Nur Azzim Assyakirin

Bakat Nur Azim dikesan melalui program Akademi Tunas Timur Laut di Sungai Ara, Pulau Pinang serta bermain untuk Mutiara United Football Academy dalam Liga Akademi Bolasepak Pulau Pinang. Yang menariknya, Nur Azim dinobat sebagai Olahragawan SK Sungai Ara tahun ini, mengikut jejak langkah ibunya Rohana Ali yang terpilih sebagai Olahragawati sekolah yang sama pada 1985.

Kyle Joshua Skelchy

Bagi Kyle Joshua Skelchy pula, abangnya Hanz Daniel yang juga pelatih AMD dan pernah menyarung jersi skuad Bawah 13 tahun negara dalam Piala Supermokh, Tri-Series anjuran Akademi Aspire di Qatar adalah sumber inspirasi, selain bapanya Aylwin Henry Skelchy yang banyak memberi sokongan moral dengan mengikuti anaknya ke kejohanan luar negara.

Muhammad Shakir Sapien

Shakir dari AT Kuala Terengganu lahir dalam keluarga bola sepak. Dua abangnya Sharin dan Sharizan beraksi untuk Terengganu FC manakala sepupunya Firdaus Ramli adalah generasi perintis NFDP kendalian Lim Kim Chon pada 2011 dan kini anggota skuad Bawah 18 tahun.

Foto : FAM

Comments