Jepun destinasi seterusnya buat Luqman Hakim Shamsudin

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Selepas Hadi Fayyadh Abd Razak, Malaysia nampaknya akan mempunyai seorang lagi pemain melebarkan karier di Jepun apabila pemain muda meningkat naik, Luqman Hakim Samsudin menjalani ‘trial’ bersama kelab Divisyen Satu Liga Professional Jepun (J-League 1) Cerezo Osaka pada bulan depan.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman setelah mengadakan pertemuan dengan wakil kelab itu dan juga Yakult Malaysia Sdn Bhd pada Sabtu.

Menurut Syed Saddiq, perkembangan Luqman Hakim yang mula menjadi sebutan ketika muncul penjaring terbanyak Kejuaraan AFC B-16 tahun lalu sudah lama dipantau Cerezo Osaka dan minat mereka terhadap pemain berusia 17 tahun itu bertambah apabila dia tersenarai dalam kesebelasan pilihan Piala Sanix 2019 pada Mac lalu.

“Dia adalah bintang masa depan dan akan menjadi aset Malaysia satu hari nanti. Semua teruja untuk melihat lebih ramai pemain kita mendapat peluang menyerlahkan bakat di luar negara,” ujar Syed Saddiq.

Ketika ini Luqman Hakim, pemain kelahiran Kelantan yang diketengahkan bakatnya oleh Lim Teong Kim sedang bersama skuad bawah 18 tahun negara kendalian Brad Maloney yang beraksi di Kejuaraan AFF B-18 dan dia turut menyumbang satu gol dalam kemenangan ke atas Singapura pada Jumaat.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada berkata selain Cerezo Osaka masih ada beberapa kelab lain dari Jepun berminat dengan Luqman Hakim dan pihaknya bersedia membantu pemain itu untuk mendapat peluang bermain di negara matahari terbit itu, sepertimana mereka mendapatkan Hadi Fayyadh peluang bermain di kelab J2, Fagiano Okayama.

“Saya rasa ini adalah berita yang baik untuk Luqman. Saya mendapat berita ada lima pasukan liga Jepun yang bertanyakan mengenai dia di mana mereka tertarik dan mahu melihat sendiri prestasi individu dari Luqman.

“Saya akan kumpulkan semua data dan video prestasi Luqman secara individu untuk diberikan kepada mereka. Apapun semuanya terpulang kepada Luqman sekiranya dia ingin bermain di sini. Kami bukan ejen, sebaliknya hanya mahu membantu,” kata Hiroshi.

Comments