Hamidin minta skuad B-15 jauhi sikap riak sebaliknya kekal fokus dan berdisiplin

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Dato’ Hamidin Mohd Amin percaya kejayaan demi kejayaan akan dapat dilakar pasukan muda negara susulan kejayaan skuad bawah 15 tahun negara menjuarai Kejuaraan AFF B-15 di Bangkok, pada Jumaat.

Malaysia B-15 bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan sensasi 2-1 ke atas tuan rumah Thailand sekaligus muncul juara buat kali kedua, malah dalam laluan ke final skuad bimbingan P.Maniam turut mencuri tumpuan apabila membelasah Australia 3-0.

“Saya kagum melihat semangat juang mereka semua, pujian kepada skuad muda kita, mereka menyerlahkan prestasi terbaik dan menamatkan kejohanan bukan sahaja sebagai juara, tetapi tanpa tewas dalam tujuh perlawanan. Jadikan ini permulaan untuk bawa lebih banyak kejayaan, jangan sesekali riak sebaliknya kekal fokus dan berdisiplin.

“Perjalanan anak-anak muda ini masih panjang, jadikan kemenangan di sini (AFF) sebagai suntikan dan inspirasi untuk menyerlah pula di pusingan kelayakan Kejuaraan AFC B-16 2020 di Laos bulan depan. Teruskan melangkah dengan garang, serap semangat Harimau Malaya dan martabatkan bolasepak kita,” ujar Hamidin kepada Foxsports.

Dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Chonburi Campus, Malaysia B-15 ketinggalan pada minit ke-16 menerusi jaringan Theekawin Chansri namun bangkit di separuh masa kedua menerusi sentuhan Izrin Ibrahim pada minit ke-69 dan gol kemenangan hadir pada minit ke-79 menerusi Nabil Qayyum Zainuddin.

Ketika aksi peringkat kumpulan, Malaysia B-15 mencatat tiga kemenangan dan dua keputusan seri termasuk seri 1-1 menentang Thailand dalam aksi terakhir yang membolehkan mereka muncul juara Kumpulan B.

Sementara itu, untuk aksi pusingan kelayakan Kejuaraan AFC B-16 yang akan berlangsung dari 18 – 22 September depan, Malaysia diundi bersama pasukan gergasi Asia, Jepun serta dua pasukan dari Asia Tenggara iaitu Laos dan Kemboja di dalam Kumpulan B.

Comments