Wan Abdul Rahim : Saya tidak boleh bertanggungjawab terhadap kenyataan orang lain

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menafikan beliau memberi jaminan menyalurkan dana sendiri sebanyak RM3 juta untuk memulihkan kedudukan kewangan persatuan itu, sebelum memenangi kerusi Presiden pada 6 Julai lalu.

Susulan laporan Foxsports yang bertajuk mana RM3 juta yang dicanang pada 6 Ogos lalu, ia pantas menjadi bahan bualan dalam kalangan penyokong Kelantan khususnya yang turut mempersoalkan mengenai ‘manifesto’ yang belum ditunai itu walaupun sudah sebulan KAFA dipimpin kepimpinan baru.

Justeru Wan Abdul Rahim berkata beliau tidak boleh bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan pihak lain atau lebih tepat, kenyataan oleh Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ).

“Sila bawa bukti rakaman percakapan, janji bertulis atau apa-apa sahaja yang boleh disifatkan sebagai ikrar ambo (saya) sebelum memegang jawatan Presiden KAFA. Ambo tak mampu pertahankan apa yang diucapkan oleh orang lain,” kata Wan Abdul Rahim yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Kelantan).

Perlu diakui, jaminan RM3 juta itu yang dicanang akan digunakan untuk menyelesaikan hutang semasa dan hutang lama adalah antara ‘X-FACTOR’ yang membolehkan Wan Abdul Rahim mendapat kepercayaan PBJ yang mengundi beliau ketika Kongres Luar Biasa tempoh hari.

Namun, dari satu perspektif, apa yang dikatakan oleh Wan Abdul Rahim ada benarnya kerana beliau sendiri tidak pernah bercakap mengenai RM3 juta itu sebelum pemilihan, dan media juga tidak ada melaporkan sebarang ‘quotes’ daripada beliau mengenainya.

Sebaliknya beberapa PBJ yang dilihat bersungguh-sungguh mengatakan telah berbincang dengannya dan menganggap beliau pilihan tepat mengemudi KAFA lantas menamakan dan memenangkannya.

Jadi adakah ini bermakna PBJ telah membuat kenyataan palsu dan menipu penyokong bolasepak Kelantan? Apakah agenda PBJ di sebalik semua yang mereka lakukan ini? Bukankah ini boleh mewujudkan persepsi buruk dan menimbulkan fitnah terhadap kepimpinan KAFA yang baru ini.

Hanya PBJ yang ada jawapannya atas setiap kenyataan yang mereka keluarkan dengan penuh yakin, sudah tentunya penyokong Kelantan mengharapkan supaya semuanya akan berada dalam situasi terkawal dan pasukan juga akan bangkit lebih kuat untuk musim 2020 meskipun tiada suntikan RM3 juta seperti dijanjikan.

 

Foto : BH Online

 

Comments