Skor 3 gol dalam 12 minit walaupun beraksi 10 pemain, Elavarasan tabik ‘the cops’

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Ketinggalan 1-3, bermain dengan 10 pemain dan perlawanan semakin menghampiri penghujung.

Dalam situasi ini, jika dapat mencipta kebangkitan untuk mendapatkan keputusan seri pun sudah dianggap satu keajaiban, tetapi PDRM FA melakukan sesuatu yang lebih daripada itu apabila melakar kemenangan 4-3 ke atas Felda United dalam aksi di Stadium Hang Jebat!

Ternyata, PDRM FA tidak menjadikan status selaku pasukan Liga Perdana sebagai penghalang untuk mencipta kejutan dalam Piala Malaysia 2019 sekaligus memberikan amaran nwreka bukan hadir untuk sekadar menjadi pelengkap jadual.

PDRM FA yang tewas 1-3 kepada Melaka pada aksi pertama, ketinggalan 1-2 kepada Felda United di separuh masa pertama sebelum terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Farid Ramli diarahkan keluar padang pada minit ke-53.

Khairul Amri Kamal menjadikan kedudukan 3-1 memihak kepada Felda lima minit selepas itu namun ‘the cops’ berjaya bangkit menerusi dua jaringan pemain sayap R.Gopinathan pada minit ke- 78 dan 88 untuk mengikat kedudukan 3-3 sebelum gol kemenangan dijaringkan Azmizi Azmi pada minit ke-90.

“Ketika (ketinggalan) 1-3 (dan) bila kami kekurangan satu pemain, saya melihat Felda United sedikit leka sedikit disebabkan tahap keyakinan mereka tinggi ketika mendahului kedudukan perlawanan.

“Saya fikir keputusan 1-3 dan PDRM FA bermain 10 pemain mungkin membuatkan Felda United bermain lebih santai.

“Saya sangat berbangga kerana anak-anak buah saya menunjukkan satu semangat positif di mana saya fikir Felda United pun sama di mana mereka turut memikul misi kutip tiga atau satu mata.

“Bagi PDRM FA, kemenangan ini sangat penting untuk menghidupkan peluang bermain di pusingan kedua (suku akhir) dan itulah yang paling mustahak,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Elavarasan mengharapkan PDRM FA akan dapat terus mengekalkan momentum selepas berjaya meraih kemenangan pertama dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Jelasnya, PDRM FA tidak berminat untuk menyerah awal dalam misi memburu slot ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2019 selepas mempamerkan kebangkitan bergaya menewaskan Felda United.

“Kejayaan mengutip tiga mata adalah satu motivasi baik untuk pasukan kerana aksi pertama PDRM tewas di tangan Melaka dan sudah tentu kita perlukan mata lagi pada perlawanan akan datang,” katanya.

 

Foto : MFL

Comments