Kejayaan bintang Thailand di Jepun bakar motivasi Hadi Fayyadh

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Kelab Liga Divisyen Dua Jepun (J2) Fagiano Okayama mengumumkan kontrak penyerang muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak dilanjutkan selama semusim lagi, selepas berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan pemain itu.

Kelab itu menekankan bahawa Hadi Fayyadh telah menunjukkan peningkatan cukup positif dan sekiranya dia diberikan lebih peluang, ia akan membantu menyerlahkan lagi potensi yang ada dalam dirinya.

“Sepanjang setahun bersama Fagiano, Hadi telah memberikan komitmen yang baik sepanjang sesi latihan yang di jalankan dan juga di dalam perlawanan yang melibatkan kelab ini. Hadi telah menunjukan semangat yang tinggi untuk terus meningkatkan potensi dirinya.

“Kami percaya dengan memberikan peluang kepada Hadi, dia akan dapat meningkatkan lagi kemahiran dan kualiti permainannya sekali gus membantu pasukan ini untuk terus memberikan aksi terbaik di dalam kejohanan liga pada musim akan datang.

“Sebagaimana pemain-pemain muda lain yang beraksi di Liga Profesional Jepun (J-League), kebiasaannya mereka akan mencapai tahap terbaik dalam karier mereka pada umur 21 dan 22 tahun, oleh yang demikian, kami yakin dan percaya bahawa potensi Hadi akan terus dapat digilap bersama kelab ini untuk tempoh masa setahun lagi,” menurut kenyataan kelab itu.

Sementara itu bagi Hadi Fayyadh pula, dia gembira telah berjaya melalui tempoh satu tahun yang pertama dengan cukup baik dan mensasarkan musim yang lebih gemilang pada 2020, sambil menjadikan beberapa pemain Thailand yang mencipta nama di Jepun seperti Chanathip Songkrasin dan Theerathon Bunmathan sebagai pembakar motivasi.

“Tahun pertama saya bersama Fagiano adalah tahun untuk saya belajar apatah lagi saya turut berdepan kecederaan selama dua bulan. Saya akan terus meningkatkan usaha untuk tahun kedua ini.

“Pemain Thailand juga agak bergelut pada tahun pertama mereka dan saya harap tahun kedua ini akan menjadi lebih baik untuk saya tetapi saya tahu saya perlu bekerja lebih keras untuk merebut tempat. Mereka ini sememangnya menjadi contoh terbaik buat saya dan saya bercita cita untuk menjadi seperti mereka,” katanya dalam sidang media di Akademi Mokhtar Dahari pada Rabu.

Sebagai rekod, Hadi Fayyadh menyertai Fagiano Okayama pada Disember tahun lalu namun bergelut untuk mendapat peluang beraksi di dalam kesebelasan.

Dia juga telah memperkuatkan skuad Sukan SEA negara di Filipina baru-baru ini, menjaringkan tiga gol sepanjang temasya namun gagal membantu Malaysia untuk melepasi halangan peringkat kumpulan.

Foto : Sportflex Malaysia

Comments