Tinggalkan anak berusia dua hari, Brendan Gan akui saat paling sukar

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Brendan Gan kini bergelar bapa setelah isterinya selamat melahirkan anak lelaki diberi nama Koa Brooklyn di Sydney pada 5 November lalu.

Begitupun, belum puas menatap wajah dan meluangkan masa bersama, pemain tengah itu terbang pulang ke Malaysia demi membantu perjuangan skuad Harimau Malaya di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Momen yang cukup indah dan istimewa apabila isteri membawa superhero ini keluar melihat dunia. Dan kini, ia menjadi saat paling sukar dalam hidup saya … untuk meninggalkan si kecil ini selepas hanya dua hari usianya untuk kembali menumpukan kepada pusingan kelayakan Piala Dunia. Masih ada tugas yang belum selesai.

“Hidup sebagai pemain bolasepak tidak mudah, tetapi kasih sayang anak dan isteri akan mengiringi saya sebagai motivasi untuk memberikan lebih dari 110 peratus nanti,” kata Brendan Gan.

Sebagai rekod, Malaysia akan turun menentang Tajikistan dalam aksi persahabatan antarabangsa pada 9 November, disusuli perlawanan menentang Thailand (14 November) dan Indonesia (19 November).

Ketiga-tiga perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketika ini skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe menduduki tangga keempat Kumpulan G di belakang Thailand, Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu dengan mengumpul tiga mata.

Foto : IG Brendan Gan

Comments