Hamidin harap skuad negara layak ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-19

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Skuad bawah 18 tahun negara terbang ke Phnom Penh, Kemboja pada Khamis bagi mengharungi Pusingan Kelayakan Kejuaraan AFC B-19 2020 dari 2 November hingga 11 November 2019.

Malaysia telah diundi di dalam Kumpulan G bersama-sama Thailand, Kemboja, Brunei dan Northern Marina Islands dan harus diakui harapan tinggi diletakkan agar skuad Brad Maloney ini akan berada dalam kalangan 15 pasukan terbaik pusingan kelayakan dan layak ke pusingan akhir di Uzbekistan tahun depan.

Turut sama memberikan kata semangat dan mendoakan kejayaan pasukan muda negara adalah Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengingatkan pemain untuk tanamkan niat meraih kemenangan demi negara dan ibu bapa.

“Apa yang penting pemain dan pegawai pasukan, keseluruhan perlu satu hati, pentingkan kerja berpasukan dan niat kena pergi dan pulang dengan kemenangan. Setiap pemain perlu tanamkan iltizam untuk berjaya, layak ke pusingan akhir. Saya juga perlu ingatkan pemain usah leka dan perlu kekal fokus,” katanya ketika sesi makan malam dengan pemain, pada Rabu.

Turut hadir, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi, Pengurus Pasukan yang juga exco FAM, Dato’ Kamarul Ariffin Mohd. Shahar bersama exco FAM ACP (B) Md Dali Wahid.

Sebagai rekod, skuad negara yang muncul naib juara Kejuaraan AFF B-18 setelah tewas kepada Australia pada Ogos lalu telah mengharungi empat perlawanan pemanas badan sebagai persiapan ke pusingan kelayakan AFC B-19, dan menang tiga daripadanya iaitu ke atas Emiriah Arab Bersatu, Taiwan dan Sri Lanka.

Antara pemain yang memperkuatkan skuad kali ini adalah beberapa bintang dari Akademi Mokhtar Dahari termasuk penyerang muda yang semakin mencipta nama Luqman Hakim Shamsudin, Ahmad Zikri Mohd Khalili, Sikh Izhan Nazrel serta Umar Hakeem Suhar Redzuan selain Mukhairi Ajmal, Azam Azmi dan ramai lagi.

Malaysia akan membuka kempen dengan menentang tuan rumah Kemboja pada 2 November di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh.

Foto : FAM

 

Comments