Main ketika jerebu bukan satu isu, perlawanan tidak diteruskan jika MC kata keadaan memudaratkan

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Malaysian Football League (MFL) menafikan mereka tidak prihatin dalam soal kesihatan pemain dan pegawai pasukan berikutan masih meneruskan aksi Piala Malaysia 2019 ketika seluruh negara sedang dilanda jerebu teruk.

MFL dalam satu kenyataan menegaskan mereka sentiasa menitikberat soal keselamatan dan tidak akan membenarkan perlawanan berlangsung jika ia memudaratkan kesihatan.

“MFL tidak boleh terlalu bergantung sepenuhnya kepada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di mana bacaan itu subjektif dan ia boleh berubah pada setiap masa. Tetapi, kita tidak akan meneruskan perlawanan Piala Malaysia jika keadaan di venue memudaratkan selepas mengambil kira keputusan daripada Komisioner Perlawanan MFL sebelum sepak mula.

“Kami akui masalah jerebu sedang melanda negara tetapi tidak bermakna MFL tidak prihatin dalam soal kesihatan apabila perlawanan Piala Malaysia MFLditeruskan. Kami telah banyak mengambil langkah untuk berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Antara langkah itu adalah ‘cooling break’ ketika perlawanan berlangsung di mana pemain akan diberikan rehat dalam tempoh selama tiga minit bermula minit ke-35 dan 70. MFL juga sedang merancang untuk mendapatkan
alat bacaan IPU bagi membolehkan bacaan IPU boleh dibuat terus di venue itu sendiri,”

MFL turut menjelaskan bahawa dalam peraturan ada mewajibkan setiap pasukan menyediakan minimum seorang doktor yang bukan sahaja memberikan rawatan kepada pemain tetapi juga boleh memberikan khidmat nasihat mengenai situasi jerebu yang melanda di setiap venue berkenaan.

Sementara itu, MFL berharap mana-mana pihak tidak cuba mensensasikan isu perlawanan berlangsung dalam cuaca jerebu dan memberikan jaminan akan sentiasa berusaha keras memastikan aksi Piala Malaysia 2019 berjalan dengan lancar.

“Kami merujuk bacaan IPU yang dikeluarkan tapi Komisioner Perlawanan MFL akan memantau situasi sebenar jerebu di setiap venue kerana ada bacaan IPU tinggi tapi jarak penglihatan baik di venue perlawanan.

“Namun nasihat juga kepada penyokong-penyokong yang hadir ke stadium supaya turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng jerebu dan minum air kosong dengan banyak sebagai langkah berjaga-jaga,” ujar MFL.

Comments