Stadium Nasional secara rasminya menjadi ‘Rumah Harimau Malaya’

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Kesemua perlawanan ‘home’ skuad Harimau Malaya bagi pertandingan atau kejohanan rasmi bermula dengan kempen Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 5 September depan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil yang secara rasminya menjadi ‘Rumah Harimau Malaya’.

Persetujuan itu dicapai selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menandatangani perjanjian bersama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bertempat di sehingga 31 Disember 2020 pada Khamis bertempat di Stadium Nasional, dengan FAM telah diwakili oleh presidennya, Dato’ Hamidin Mohd Amin manakala PSM diwakili oleh pengerusinya, Tan Sri Dr Tony Fernandes sambil disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Perjanjian tersebut adalah sehingga 31 Disember 2020 namun turut boleh dilanjutkan untuk tempoh tambahan dua tahun lagi iaitu dari 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2022, jika mencapai persetujuan bersama daripada kedua-dua belah pihak.

Bagaimanapun mengikut perjanjian itu, skuad Harimau Malaya dibenarkan untuk beraksi di stadium-stadium lain di seluruh negara jika ia hanya membabitkan perlawanan-perlawanan persahabatan.

“Perjanjian ini melakarkan satu bentuk kerjasama daripada FAM untuk memastikan ‘Rumah Harimau Malaya’ ditempatkan di sebuah stadium yang cantik, moden dan canggih seperti Stadium Nasional ini yang mana keutamaan perlu diberikan kepada para penyokong menerusi kemudahan pengangkutan awam dan juga keselesaan mereka ketika berada di dalam stadium.

“Selain itu, kerjasama dengan PSM ini turut bakal membuka peluang untuk cadangan pembinaan Muzium Harimau Malaya dan juga Kedai Rasmi Harimau Malaya di Stadium Nasional ini yang masih dalam proses perbincangan. Saya pasti ia sememangnya dinanti-nantikan oleh para penyokong dan peminat Harimau Malaya,” kata Hamidin.

Manakala Tony Fernandes pula menambah, “Kerjasama dengan FAM ini mampu menaikkan lagi prestij dan imej KLSC yang mana Stadium Nasional kini secara rasminya telah diiktiraf sebagai ‘Rumah Harimau Malaya’.

“Sudah tentu PSM mahu membantu pembangunan bola sepak di Malaysia ini dengan memberi peluang kepada para penyokong Harimau Malaya menyaksikan persembahan skuad kebangsaan di venue bola sepak yang paling moden di Malaysia ini.”

Sementara itu, FAM dan PSM sedang bekerjasama untuk merealisasikan sistem penjualan tiket seratus peratus secara online bagi perlawanan-perlawanan membabitkan skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional.

Menurut Hamidin, perbincangan mengenai perkara tersebut memerlukan masa yang lebih bagi memastikan semua aspek penjualan dan operasi perlawanan dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

FAM dan PSM turut akan cuba memperkenalkan penjualan tiket mengikut nombor tempat duduk yang mana ia juga masih dalam peringkat perbincangan berhubung cara operasinya. Kedua-dua inisiatif ini akan cuba dilancarkan menjelang perlawanan bertemu UAE pada 10 September ini.

Dengan kerjasama ini, proses pemeriksaan keselamatan di pintu masuk stadium menggunakan alat pengimbas pengesan logam (metal detector scanner) dan alat pengimbas tangan (hand held scanner) serta laluan ekspres bagi penyokong yang tidak membawa beg akan diperkenalkan bagi memastikan aliran masuk penyokong ke stadium berjalan dengan lebih lancar.

“Terima kasih kepada PSM yang hadir ke hadapan bagi membantu pembangunan bola sepak Malaysia dan Tan Sri (Tony) sendiri sebagai ikon korporat dan ikon bola sepak di Malaysia ini yang secara langsung tampil untuk mengambil inisiatif sendiri bagi membantu bola sepak di peringkat kebangsaan ini.

“Kami di FAM mengalu-alukan kerjasama dengan PSM ini yang mana imej bola sepak negara dapat dinaikkan. Saya juga menyeru agar pihak organisasi dan juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain dapat tampil ke hadapan untuk kita sama-sama menaikkan bola sepak Malaysia,” tambah Hamidin lagi.

Bagi tempoh terdekat ini, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe akan beraksi dua perlawanan di Stadium Nasional iaitu bertemu Jordan bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pada 30 Ogos 2019 dan perlawanan kedua Kumpulan G bagi Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu UAE pada 10 September 2019.

Skuad Harimau Malaya bakal membuka kempen Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 September 2019.

 

Foto : FAM

Comments