Cukup-cukuplah bergembira, nanti tak ke mana

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Pengendali Sabah, Jelius Ating mengingatkan anak buahnya untuk tidak terus terbuai dengan kejayaan menjuarai Liga Premier musim ini sehingga boleh menjejaskan tumpuan dan persediaan untuk bermain dalam saingan Liga Super tahun hadapan.

Menurut Jelius yang juga bekas pemain Sabah era 90an, adalah penting untuk mempunyai pandangan jauh dan menerap mentaliti positif dalam kalangan pemain untuk terus meningkatkan prestasi seterusnya mengorak langkah mencipta lebih kejayaan berbanding terus bergembira dengan pencapaian lalu.

“Jangan kita dibuai dengan kejayaan terlalu lama sebaliknya jadikan ia sebagai penanda aras untuk terus menuju ke hadapan kerana cabaran sebenar baru sahaja bermula. Jika terlalu bangga dengan sesuatu pencapaian itu, percayalah, ia tidak akan ke mana kerana bukan mudah untuk kita pertahankan prestasi pasukan dengan lebih cemerlang,” ujarnya.

Sabah ketika ini sedang bersaing dalam Piala Malaysia, di mana mereka tewas dua perlawanan pertama Kumpulan C iaitu 0-3 kepada Perak dan 1-2 kepada Pulau Pinang. Selepas ini mereka akan berdepan dengan Pahang pada 17 Ogos di Likas.

Dalam perkembangan lain, Jelius berharap penyokong bola sepak tempatan dapat mengubah persepsi terhadap Liga Malaysia ke arah yang lebih positif seandainya ingin melihat bola sepak tanah air terus berkembang.

Jelasnya, sesuatu liga itu tidak akan lancar dan meriah tanpa sokongan padu daripada penyokong sendiri justeru meminta mereka membuang pandangan yang terlalu negatif terhadap Liga Malaysia.

“Penyokong itulah yang menjadi kekuatan terhadap perkembangan sukan ini. Kita memang tak boleh nak nafikan apa yang akan diperkatakan oleh sesetengah orang, tetapi kita sendiri yang boleh ubah mentaliti kita untuk lebih positif dalam memberikan sokongan kepadaiga Malaysia. Adalah lebih baik seandainya semua pihak bekerjasama dalam memberikan pandangan dan cadangan untuk perbaiki kekurangan yang ada tanpa perlu menunding jari sesama sediri.

“Jika kita lihat ia ke arah negatif, maka negatiflah sukan bola sepak ini dan sekiranya ramai yang mempunyai persepsi yang lebih membina, saya percaya Liga Malaysia akan terus meningkat saban tahun.

“Ada sesetengah pihak mungkin melihat liga ini agak membosankan apabila ada yang mempertikaikan saingan tidak terlalu sengit tetapi saya merasakan semua pasukan sentiasa berusaha keras untuk memastikan kemeriahan liga akan selalu ada,” katanya.

Comments