Malaysia paksa kami bermain secara defensif – Milovan Rajevac

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Thailand, Milovan Rajevac mendedahkan bahawa bukan perancangannya untuk bertandang ke Stadium Nasional Bukit Jalil dan bermain secara defensif menentang Malaysia pada perlawanan pertama separuh akhir Piala AFF Suzuki 2018.

Beliau menerangkan bahawa corak permainan Harimau Malaya yang agresif telah memaksa anak buahnya bermain secara bertahan sepanjang 90 minit permainan semalam.

“Malaysia bermain dengan sangat baik. Mereka banyak melakukan larian dan memberikan 120% di atas padang.

“Kami bukannya mahu bermain secara defensif. Tetapi Malaysia bermain dengan sangat agresif dan bermotivasi tinggi untuk menjaringkan gol.

“Disebabkan itu kami bermain secara bertahan.” katanya sejurus perlawanan.

Sebelum daripada perlawanan ini, jurulatih dari Serbia ini banyak diajukan soalan daripada pengamal media mengenai kedua-dua buah negara mengenai aura para penyokong Malaysia dan juga jenis rumput yang digunakan – jenis ‘cowgrass’.

Milovan Rajevac memberikan respon bahawa tiada masalah bermain dihadapan ribuan penyokong serta menggunakan rumput jenis ‘cowgrass’ tersebut. Malah mereka telah menghadapai beberapa perlawanan pada tahun ini bermain di atas rumput sedemikian.

Telahan beliau nyata meleset, sejurus daripada perlawanan Malaysia dan Thailand, beliau terpaksa mengakui bahawa kedua-duanya jelas mempengaruhi prestasi para pemainnya terutamanya pada malam tadi.

“Suasana di dalam stadium dan juga jenis rumput yang digunakan sememangnya mempengaruhi kami pada malam ini.” jelasnya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dengan keputusan seri 0-0 tanpa jaringan dalam perlawanan separuh akhir pertama, kedua-dua pasukan akan mula melakukan persiapan untuk menghadapi perlawanan kedua di Bangkok pada 5 Disember.

“Pasukan-pasukan di ASEAN berbeza permainannya apabila bermain di gelanggang sendiri dan gelanggang lawan.

“Dalam masa empat hari lagi, kami akan bermain di Bangkok. Oleh itu, kami akan pulang dan mula menumpukan perhatian untuk mempersiapkan pasukan bagi perlawanan tersebut.” tambahnya lagi.

 

Kredit Foto: Changsuek

Comments