AFF B-18: Brad Maloney tidak hirau kesilapan Firdaus Imran, tumpu terap sistem dan falsafah baharu

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Malaysia Bawah 18 Tahun (B-18), Brad Maloney tidak menghiraukan kritikan-kritikan penyokong terhadap kesilapan ‘mudah’ dilakukan oleh Firdaus Imran sehingga menyebabkan skuad muda negara tewas kepada Thailand B-18 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, semalam.

Lebih mendebarkan, kekalahan itu hampir-hampir menyebabkan ‘tiket’ ke saingan separuh akhir Piala AFF B-18 Next Media 2019 melayang namun kemenangan Kemboja B-18 ke atas Vietnam B-18 dalam satu perlawanan yang lain telah memberikan talian hayat kepada pasukan Malaysia B-18.

Pengendali sementara skuad B-18 ini berkata, “pemain-pemain ini telah mara jauh dalam masa yang singkat dan telah berjaya mengadaptasi sistem permainan dan falsafah corak permainan yang baharu,”

Hadir selaku juara bertahan kejohanan sememangnya memberikan tekanan yang tinggi oleh para peminat bola sepak tanah air. Mereka menjangkakan skuad muda ini mengulangi prestasi pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Brad Maloney kekal dengan misi utamanya untuk menggunakan pentas ini sebagai peluang untuk anak-anak buahnya menimba pengalaman peringkat antarabangsa serta tampil dengan ‘Cara Malaysia’.

“Sentiasa ada jangkaan, dan ini merupakan sekumpulan pemain-pemain terbaik. Tetapi, kita menumpukan kepada corak permainan berpasukan dan melaksanakan prinsip-prinsip bagaimana kita mahu lihat mereka bermain.

“Dalam masa yang singkat mereka telah mara sejauh ini tetapi pengalaman dan pendedahan yang diperolehi oleh pasukan ini sangat baik.” kata Brad Maloney.

Foto: FAM

Comments