AFF B-18: Pemain keletihan namun Brad Maloney teruja atasi kumpulan maut

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Malaysia Bawah 18 Tahun (B-18), Brad Maloney cukup teruja selepas anak-anak buahnya melepasi cabaran Kumpulan B seterusnya melangkah ke saingan separuh akhir saingan Piala AFF B-18 Next Media.

Walaupun kemaraan ke peringkat kalah mati itu mendapat ‘ihsan’ daripada keputusan perlawanan di antara Kemboja B-18 dan Vietnam B-18, ia satu pengalaman mengujakan buat pengendali kelahiran Australia ini lebih-lebih lagi beliau baru sahaja mengambil alih jawatan selaku ketua jurulatih skuad tersebut, awal julai lalu.

“Selepas bertemu Vietnam, Thailand dan Australia dalam kumpulan yang disifatkan orang ramai sebagai kumpulan maut, ia sangat menggembirakan apabila kami layak ke separuh akhir dan memberikan dua perlawanan tambahan untuk kami bekerja bersama pasukan ini,” kata Brad Maloney.

Mengulas mengenai kekalahan 0-1 kepada Thailand B-18, beliau akur bahawa pemain-pemainnya keletihan sehingga menampilkan aksi yang tidak memuaskan. Bukan mudah mengharungi lima perlawanan dalam masa sembilan hari.

Bagaimanapun, beliau percaya persembahan lebih baik akan ditampilkan ketika menentang Indonesia B-18, petang esok.

“Saya percaya pemain-pemain akan bangkit pada perlawanan seterusnya. Mereka bersatu hati dan bekerja keras bersama-sama untuk mara ke peringkat separuh akhir.

“Saya jangkakan esok merupakan perlawanan yang sukar kerana Indonesia hadir atas kapasiti juara Kumpulan A tanpa kalah.

“Kami akan persiapkan pasukan sebagaimana kami lakukan pada perlawanan-perlawanan sebelum ini.” tambahnya lagi.

Aksi separuh akhir di antara Indonesia B-18 dan Malaysia B-18 kendalian Brad Maloney dijadualkan pada jam 5 petang waktu Malaysia. Perlawanan tersebut akan dilangsungkan di Stadium Binh Duong.

Foto: FAM

Comments