AFF B-18: Malaysia ke separuh akhir dengan ‘ihsan’ Kemboja

Aksi terakhir peringkat Kumpulan B bagi skuad Malaysia Bawah 18 Tahun (B-18). Lawan mereka pada petang ini adalah Thailand B-18. Aksi yang mengambil tempat di Stadium Thanh Long ini berkesudahan dengan keputusan 0-1 memihak kepada Thailand.

Aksi separuh masa pertama tamat tanpa sebarang jaringan. Walaupun Thailand B-18 dilihat lebih tersusun dan menampilkan lebih banyak serangan ke arah gawang skuad kebangsaan, tetapi ketumpulan barisan serangan mereka menyebabkan banyak peluang disia-siakan.

Separuh masa kedua, permainan skuad negara sedikit meningkat dan mereka mula mengatur serangan dengan lebih berkesan. Tetapi Thailand yang tidak jemu melancarkan serangan akhirnya berjaya menemui jaringan pada minit ke-69 menerusi Sitthinan Rungrueang. Kedudukan 0-1 tidak berubah sehingga wisel dibunyikan oleh pengadil perlawanan.

Walaupun tewas, Malaysia tetap berjaya melangkah ke saingan separuh akhir apabila Kemboja berjaya menumpaskan Vietnam 2-1.

Berikut adalah lima pemerhatian yang kami dapati dalam perlawanan ini:

#1 Brad Maloney buat 4 pertukaran
Dalam perlawanan terakhir menentang Thailand petang tadi, ketua jurulatih, Brad Maloney membuat 4 pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding ketika menentang Australia, dua hari lalu. Beliau memulakan tiga pemain tengah baharu iaitu Umar, Akmal dan Fahmi. Manakala seorang lagi ialah Faris yang bermain sebagai penyerang kiri. Paling mencuri tumpuan di antara empat pemain ini adalah pemain berjersi No.19, Fahmi. Bermain sebagai wing back kanan, Fahmi mempunyai kelajuan dan kawalan bola yang baik.

#2 Thailand eksploitasi ruang antara midfield dan pertahanan
Malaysia B-18 bermain dengan formasi 3-4-3. Apabila bertahan, dua pemain wing back kiri dan kanan akan turut serta turun dan bertahan untuk membentuk barisan pertahanan berlima. kadang-kala, apabila pihak lawan berjaya merampas bola dan melakukan counter attack, ruang di antara midfield dan pertahanan menjadi kawasan sasaran buat Thailand untuk menghantar bola jauh kepada rakan sepasukan. Disitu, Thailand kemudiaannya mempunyai dua pilihan. Pertama melakukan larian terus ke arah gawang gol dan melepaskan rembatan. Keduanya, mereka melorongkan bola di kawasan half space ketika Malaysia sedang menantikan dua wing back untuk turun bertahanan bersama-sama 3 pertahanan tengah.

#3 Kedua-duanya bermain secara ‘counter attack’
Kedua-dua pasukan bermain dengan corak serangan balas. Baik Malaysia mahupun Thailand. Tetapi dalam perlawanan ini, Thailand dilihat lebih mendominasi permainan, bermain sebagai satu pasukan serta lebih semangat. Pada separuh masa pertama, Malaysia amat bernasib baik kerana deretan peluang oleh pasukan jiran tetangga itu disia-siakan begitu sahaja. Mereka menghadapi masalah ketumpulan jentera serangan yang agak kritikal. Pada babak kedua, ada peningkatan ditunjukkan oleh pemain-pemain muda Malaysia. Corak permainan nampak lebih baik. Namun, usaha Thailand terbalas apabila mereka berjaya mendapatkan jaringan pada minit ke-69.

#4 Keletihan hancurkan segala-galanya
Selepas menundukkan Australia dengan penuh bergaya dua hari lalu. Perlawanan pada hari ini melihatkan keletihan yang sangat ketara dihadapi oleh pemain-pemain Malaysia. Keletihan menyebabkan mereka tidak mampu menjalankan ‘game plan’ Brad Maloney dengan baik. Hantaran-hantaran tidak kemas. Gagal bermain sebagai satu pasukan. Hanya mengharapkan Luqman untuk melakukan gerakan untuk menghasilkan jaringan.

#5 Terima kasih Kemboja!
Malaysia tewas 1-0. Tetapi skuad muda negara tetap berjaya melangkah ke saingan separuh akhir Piala AFF B-18 Next Media 2019 apabila Kemboja menewaskan tuan rumah, Vietnam 2-1 dalam satu perlawanan yang turut berlangsung pada waktu yang sama. Kekalahan pasukan Vietnam menyebabkan mereka gagal memintas Malaysia di tempat kedua yang mempunyai 9 mata. Dalam perlawanan tersebut, Kemboja terlebih dahulu membuka jaringan sebelum Vietnam menyamakan kedudukan. Tetapi pada minit-minit akhir, satu serangan balas yang dilancarkan oleh Kemboja gagal dihalang oleh Vietnam dan mereka berjaya menjaringkan gol kedua. Turut sama layak ke saingan separuh akhir adalah Australia yang merupakan juara Kumpulan B.

Foto: FAM

Comments