AFF B-18: Jangan beri Australia & Vietnam memintas di ‘selekoh akhir’

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Skuad Malaysia Bawah 18 Tahun (B-18) dinasihatkan tidak terlalu leka dengan kejayaan menumbangkan pasukan pilihan, Australia B-18 pada aksi keempat Kumpulan B dalam saingan Piala AFF B-18 Next Media, petang semalam.

Walaupun kemenangan 3-0 itu membolehkan skuad muda kebangsaan merampas kedudukan pertama daripada Australia B-18 dalam Kumpulan B, tiada jaminan anak-anak buah Brad Maloney akan mara ke saingan separuh akhir.

Malah pasukan Australia B-18 dan tuan rumah, Vietnam B-18 masih berpeluang menempah tiket ke pusingan kalah mati seandainya kedua-dua pasukan ini mencatatkan kemenangan ke atas lawan masing-masing dan Malaysia B-18 mencatatkan kekalahan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Tambahan pula, ketua jurulatih Malaysia B-18, Brad Maloney masih melihat pasukan Australia B-18 sebagai sebuah pasukan yang berkualiti dan pilihan utama untuk mara ke saingan akhir kejohanan peringkat ASEAN ini.

“Australia akan tetap menjadi pasukan pilihan dalam kejohanan ini. Kami sedar ini sebuah perlawanan yang sukar kerana mereka sangat kompetitif dan sebuah pasukan yang mantap. 

“Saya yakin Australia akan ke separuh akhir, seterusnya ke final manakala nasib kami perlu ditentukan sendiri,” ucap Brad Maloney menerusi Stadium Astro.

Justeru, diharapkan skuad muda kebangsaan tidak mengambil mudah cabaran pasukan Thailand B-18.

Walaupun serba tidak menjadi dalam tiga aksi pertama mereka, tidak mustahil Thailand B-18 mampu mengejutkan lawannya lebih-lebih lagi selepas mereka berjaya mengikat Vietnam B-18, malam tadi.

Sementara itu, pengendali Australia B-18, Gary Van Egmond mengakui Malaysia B-18 turun dengan perancangan yang mantap. Disiplin yang ditampilkan oleh pemain-pemain muda negara terutamanya ketika bertahan menjadi halangan besar skuad Australia untuk mencipta jaringan.

“Berdepan sebuah pasukan yang gemar melakukan serangan balas, mereka akan saling berusaha keras.

“Kami gagal membuat keputusan dan mencari ruang di kedudukan tertentu untuk menembusi pertahanan lawan. 

“Ini pengajaran berguna buat kami agar tidak dihukum sebegini lagi,” katanya.

Untuk aksi terakhir Kumpulan B, Australia B-18 akan bertemu Singapura B-18 pada jam 4.30 petang manakala tuan rumah, Vietnam B-18 dijadualkan menentang Kemboja B-18 pada jam 7.30 malam.

Pasukan Malaysia B-18 akan membuat perhitungan bersama Thailand B-18 pada jam 3.30 petang waktu Vietnam.

Foto: AFF

Comments