AFF B-18: Pasukan pilihan, Australia ‘dibaham’ Harimau Muda 3-0

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Skuad Malaysia Bawah 18 Tahun (B-18) meneruskan cabaran Piala AFF B-18 Next Media dengan bertemu Australia B-18 bagi aksi keempat Kumpulan B.

Walaupun skuad Australia B-18 bimbingan Gary Rudy bermula dengan lebih yakin serta dipaksa bermain di bawah curahan hujan lebat pada babak pertama, ianya tidak menjadi halangan buat skuad kendalian Brad Maloney untuk mendahului 3-0 pada separuh masa pertama menerusi dua jaringan solo oleh Luqman Hakim (16′,38′) dan rembatan volley oleh Muhammad Azam Azmi Murad (26′).

Tiada pertambahan jaringan pada babak kedua dan perlawanan berkesudahan dengan jaringan 3-0 memihak kepada Harimau Muda. Ini merupakan kekalahan pertama skuad Australia selepas mencatatkan kemenangan 5-1 ke atas Kemboja, Vietnam 4-1 dan Thailand 3-1.

Berikut adalah lima perkara yang kami dapati daripada perlawanan ini:

#1 Permainan lebih kemas selepas dua jaringan
Skuad muda Malaysia bergelut pada awal-awal permainan. Kelihatan sedikit gugup dan terlalu menghormati pihak lawan. Ini menyebabkan banyak hantaran-hantaran yang dilakukan oleh pemain-pemain tidak tepat dan tidak kemas. Sukar untuk rakan sepasukan menerima bola tersebut dan skuad Australia mudah merampas atau memintas bola tersebut. Tambahan pula, sejak awal permainan, Australia bermain dengan memberikan tekanan secara agresif dan Malaysia hanya ‘sit deep’ untuk bertahan. Selepas berjaya mendapatkan dua gol pada minit ke-16 dan ke-26, barulah pemain-pemain negara sedikit tenang dan mula menampilkan keyakinan ketika memegang bola. Malaysia B-18 turut mempunyai idea yang baik dalam mengatur serangan. Selepas itu, giliran Australia pula yang tertekan sehingga mempengaruhi corak permainan mereka.

#2 Firdaus Irman perlu perbaiki kesilapan/kelemahan
Tahniah kerana mencatatkan ‘clean sheet’. Namun, Firdaus Irman ada melakukan tiga kesilapan yang boleh dikatakan sebagai kesilapan mudah yang tidak patut dilakukan oleh seorang penjaga gol. Antaranya membuat hantaran kepada rakan sepasukan yang telah dikawal oleh pemain lawan. Seorang pemain Australia segera berjaya mendapatkan bola tersebut namun Malaysia bernasib baik penyudahnya tiada. Satu lagi kesilapan yang dilakukan adalah lewat melakukan hantaran dan tolakannya terus ke kaki pemain lawan. Kedua-dua berlaku pada babak pertama. Bermain sebagai ‘ball playing goalkeeper’ bukanlah satu perkara yang mudah, dan Firdaus masih muda. Secara keseluruhan persembahannya boleh dipuji namun kesilapan sebegini boleh menyebabkan kerugian andaikata bola itu masuk dan pasukan sedang terikat 1-1.

#3 Luqman Hakim penyerang muda dalam pembikinan
Nama Luqman Hakim semakin menjadi sebutan buat peminat bola sepak tempatan. Penyerang muda ini mula mendapat perhatian ketika saingan Kejohanan AFC B-16 pada tahun lalu. Dan namanya terus meniti di bibir peminat bola sepak apabila beliau mendapat perhatian pasukan J.League. Hari ini, beliau menjaringkan dua gol dengan penuh bergaya pada separuh masa pertama, dan kedua-duanya hasil gerakan solo penuh berkualiti menewaskan penjaga gol Australia, Jackson Henry. Beliau seakan-akan dapat menghidu akan kelemahan Jackson Henry ini dan kedua-dua jaringannya dihalakan ke bahagian kiri penjaga gol ini. Gol itu juga menunjukkan ‘Decision making’ penyerang muda ini semakin meningkat dengan ketara selain daripada teknik larian dengan bola dan kekuatan tendangan.

#4 Taktikal ‘direct play’ Brad Maloney menjadi
Pengendali Malaysia B-18, Brad Maloney tidak meletakkan percaturan yang kompleks walaupun menentang pasukan yang dianggap sebagai pilihan dalam kejohanan ini. Formasi 5-4-1 ketika bertahan dan 3-4-3 ketika menyerang menjadi pilihan serta mengarahkan bola dihantar terus kepada 3 pemain serangan di hadapan apabila memiliki bola. Faktor fizikal pihak lawan pasti menjadi salah satu perkara yang diambil kira dalam perkiraan ini. Awalnya skuad negara sedikit bergelut untuk menjayakan perancangan tersebut namun setelah mendahului, mereka semakin selesa dengan corak itu. Keberhasilan perancangan ini turut disumbangkan dengan kesilapan skuad Australia yang bermain di garisan tinggi. Mereka banyak kali tewas dengan larian laju dan bijak oleh Luqman Hakim dan Muhd Muslihuddin.

#5 Pemain No.6, Muhammad Azam antara yang turut cemerlang
Selain daripada Luqman Hakim yang cemerlang menyumbangkan dua gol dengan bergaya ke atas Australia, pemain No.6 kebangsaan, Muhammad Azam Azmi Murad antara yang turut menampilkan persembahan cemerlang. Bermain sebagai ‘wing back’ kanan, beliau rajin turun dan naik di sayap kanan Malaysia. Muhammad Azam ada ketika Malaysia bertahan dan banyak mematahkan gerakan di bahagiannya. Muhammad Azam juga menjadi pilihan Malaysia untuk melebarkan serangan ke bahagian sayap kanan. Gandingan beliau bersama Luqman Hakim juga mantap. Dan jaringan ‘volley’ olehnya pada minit ke-26 melengkapkan persembahan penuh cemerlangnya pada hari ini.

Foto: FAM

Comments