AFF B-18: Mampukah Malaysia sertai Indonesia dan Myanmar ke separuh akhir?

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Pasukan Indonesia dan Myanmar telah mengesahkan kemaraan ke saingan separuh akhir Piala AFF Bawah  18 Tahun (B-18) Next Media secara matematik selepas menewaskan lawan masing-masing pada aksi keempat Kumpulan A, semalam.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Thong Nhat itu, pasukan Indonesia berjaya bangkit daripada ketinggalan 1-0 menerusi jaringan oleh Amiruddin Bagus pada minit ke-72 dan jaringan sendiri oleh pemain Laos, Anoulack Vannalath pada masa kecederaan seterusnya menamatkan perlawanan dengan keputusan 2-1.

Myanmar pula menempah tiket ke saingan separuh akhir selepas mencatatkan kemenangan ke-4 berturut-turut selepas cemerlang menudukkan Brunei DS 2-0. Dua gol tersebut dijaringkan oleh Pyae Phyo Aung pada minit ke-10 dan Moe Swe pada minit ke-73.

 

Walaupun masih berbaki satu perlawanan, 12 mata yang dikumpul oleh kedua-dua pasukan sudah tidak mampu dikejar oleh Timor Leste dan Laos yang menduduki tangga ke-3 dan ke-4. Indonesia dan Myanmar akan bertembung sesama sendiri pada hari esok, untuk menentukan kedudukan juara dan naib juara Kumpulan A.

Untuk hari ini, tumpuan beralih kepada aksi di antara Australia dan Malaysia di mana kedua-duanya merupakan pasukan yang menduduki kelompok dua teratas Kumpulan B. Australia di tempat pertama mengumpul 9 mata hasil daripada 3 kemenangan berturut-turut manakala Malaysia di tempat kedua dengan 6 mata.

Mengejar di kedudukan ke-3 adalah tuan rumah, Vietnam yang turut mengumpul 6 mata namun dipisahkan dengan jumlah perbezaan jaringan walaupun bermula dengan baik menumpaskan skuad negara pada perlawanan pembukaan Kumpulan B, pada minggu lalu.

Peluang untuk Malaysia mencatatkan kemenangan menentang Australia pada perlawanan ini dilihat sedikit sukar. Dalam tiga perlawanan sebelum ini, Australia berpesta gol membenam Kemboja 5-1 pada aksi pembukaan, tundukkan Vietnam 4-1 serta menumbangkan Thailand 3-1.

Prestasi semasa dan moral memihak kepada Australia untuk meneruskan rentak kemenangan ke atas pasukan kendalian Brad Maloney pada petang ini. Bagaimanapun, prestasi skuad muda negara semakin meningkat selepas tewas tipis 1-0 kepada tuan rumah pada aksi pembukaan, minggu lalu. Ia sedikit-sebanyak dapat memberikan keyakinan kepada barisan pemain Malaysia B-18.

Untuk aksi pada petang ini, sekiranya Malaysia tidak mampu menyaingi pasukan Australia, diharapkan skuad muda negara tidak tewas dengan jaringan begitu besar. Malaysia masih mampu memotong di ‘selekoh terakhir’ untuk mara ke slot separuh akhir dengan syarat mereka perlu menumpaskan pasukan Thailand yang menampilkan prestasi tidak mencapai jangkaan ramai, pada aksi terakhir Kumpula B.

Foto:  ASEAN Football Federation

Comments