Skuad bawah 15 tahun yakin mampu tewaskan Jepun

Khairul Nizam Khairul Nizam

Mendengar seorang pemain kebangsaan menyatakan keyakinan untuk menumpaskan salah satu dari pasukan gergasi Asia bukan satu perkara biasa, terutamanya dari seorang pemain cilik.

Tetapi itulah yang dinyatakan oleh salah seorang daripada pemain skuad bawah 15 tahun negara yang baru sahaja menjuarai kejohanan Piala AFF Bawah 15 tahun.

Penyerang skuad muda negara, Mohamad Khairil Mohd Zain dalam satu laporan Utusan menyatakan keyakinannya untuk menumbangkan gergasi Asia itu dalam kempen kelayakan Kejohanan AFC Bawah 16 Tahun yang akan berlangsung di Laos dari 18 hingga 22 September nanti.

“InsyaAllah kami boleh tewaskan Jepun. Kebanyakan pemain dalam pasukan ini mempunyai inspirasi dan komitmen.

“Jepun adalah salah satu gergasi Asia dan kami percaya dengan pasukan yang ada, kami mampu tewaskan Jepun.”

Perkara ini turut dikongsi oleh ketua jurulatih skuad B 15 negara, P. Maniam, tetapi dia tetap mahu anak buahnya memberikan fokus terhadap perlawanan-perlawanan lain nanti.

“Memang kita nampak boleh menang dengan Kemboja, tetapi Laos ini susah sikit sebab saya rasa mereka bermain dengan lebih bertahan, bukan senang, tetapi dengan pemain-pemain ini saya rasa kita berkeyakinan bahawa kita boleh melakukan yang terbaik dengan Jepun.

“Keyakinan pemain begitu baik, tetapi kita harus membuat persiapan lebih baik daripada yang sebelum ini kerana akan membantu pemain bermain dengan lebih yakin dan teratur,” kata Maniam.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J bersama Jepun, Kemboja dan tuan rumah, Laos. Kejayaan skuad negara menewaskan Thailand 2-1 dalam perlawanan akhir Piala AFF B 15 nanti pastinya akan menjadi motivasi buat mereka memberikan yang terbaik dalam pusingan kelayakan AFC B 16 nanti.

 

Kredit foto: FAM

 

 

Comments